Senat Perancis tolak pemeriksaan lebih ketat ke atas Huawei

(Reuters pic)

PARIS: Senat Perancis semalam menolak pindaan undang-undang mengetatkan pemeriksaan ke atas peralatan telekomunikasi, menyusuli amaran Amerika Syarikat mengenai syarikat China, Huawei.

Kerajaan memasukkan pindaan itu pada saat akhir ke dalam undang-undang korporat yang meluas. Ia menetapkan pengendali telekomunikasi perlu mendapatkan kelulusan rasmi untuk penggunaan peralatan tertentu yang dianggap sensitif kerana risiko pengintipan dan sabotaj.

Beberapa senator mewajarkan undi menolak pindaan itu, mengatakan kerajaan tidak memberikan mereka masa secukupnya untuk membincangkan perkara itu dengan betul, yang diakui penting dan strategik.

“Kami tidak dapat melakukan kerja kami sebagai ahli parlimen,” kata Senator Elizabeth Lamure, yang juga naib pengerusi jawatankuasa hal ehwal ekonomi.

Penolakan oleh senat ini bermakna kerajaan perlu mengemukakan usul baru untuk meluluskan peruntukan itu, yang melewatkan pelaksanaannya kepada beberapa bulan lagi.

Huawei, pembuat peralatan telekomunikasi terbesar dunia, berdepan kawalan rapi antarabagnsa kerana hubungannya dengan kerajaan China dan dakwaan Beijing boleh menggunakan teknologinya untuk mengintip.

Huawei menafikan dakwaan itu.

Masa depan atur gerak teknologi telefon bimbit generasi ke-5 menimbulkan kebimbangan dalam kerajaan, kerana 2 pengendali telekomunikasi utama Perancis, Bouygues Telecom dan Kumpulan SFR menggunakan peralatan Huawei dalam rangkaian mereka.

“Langkah manaiktaraf 4G kepada 5G mengubah banyak banyak perkara di peringkat teknikal. Ini bermakna kebanyakan maklumat paling sensitif bukan sahaja dalam rangkaian teras tetapi juga di antena,” kata Menteri Kewangan Bruno Le Maire dalam temubual France sebelum Senat mengundi.

“Kita mesti lindungi maklumat sensitif ini,” katanya.