Shafie Apdal harap PPBM kotakan kata tak masuk Sabah

(Gambar Bernama)

SEMPORNA: Parti Warisan Sabah (Warisan) mengulangi harapan agar PPBM dapat mengotakan katanya untuk tidak melebarkan sayap ke Sabah atas dasar “perjanjian adik beradik” yang dicapai pada pilihan raya umum lepas.

Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kedua-dua pihak sudah berpakat dan sebelum ini PPBM menyatakan pendirian tiada keperluan untuk parti itu berada di Sabah berikutan kewujudan Warisan.

Menurutnya, harapan tersebut dibincangkan dengan pucuk pimpinan teratas agar kemasukan PPBM ke Sabah tidak berlaku.

“Kalau mengimbau sokongan kaum Bumiputera Sabah terhadap Warisan dengan kerjasama Pakatan Harapan negeri adalah cukup besar.

“Kerana (kerjasama itu) daripada pantai barat kita menang di Parlimen dan DUN termasuk Papar, Putatan, Penampang, Karambunai dan Sepanggar manakala kita menang besar di pantai timur Sabah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra sempena Tahun Baru Cina hari ini.

Shafie mengulas kenyataan Adun Sulaman, Datuk Hajiji Noor yang menegaskan PPBM akan melebarkan sayap ke Sabah tidak lama lagi.

Sementara itu, Shafie berkata harapannya itu turut diluahkan kepada pimpinan Pakatan Harapan di peringkat negeri supaya kerjasama itu dapat dikekalkan.

“Saya sedar dan tahu DAP sudah lama di Sabah serta parti ini untuk kaum Tionghua, manakala PKR parti pelbagai kaum dan kita memerlukan kerjasama mereka untuk kepentingan penduduk majmuk negeri ini,” katanya.

Semalam Hajiji dalam laporan berita memberi jaminan PPBM akan masuk ke Sabah tidak lama lagi.

Menurut Hajiji, buat masa ini semua bekas pemimpin Umno yang masih berstatus Adun bebas tidak akan kembali menyertai Umno dan pada masa sama tetap meneruskan kerjasama dengan Gabungan Bersatu Sabah (GBS).

Pada Disember lalu, bekas pengerusi negeri itu bertindak keluar Umno bersama 13 lagi wakil rakyat dan 21 ketua bahagian dan mengisytiharkan menjadi ahli politik bebas.