Syarikat nafi alat pengesan unsur babi kelirukan masyarakat

Pork Meat Test dikatakan mampu mengesan unsur babi dalam sesuatu produk.

PETALING JAYA: Syarikat yang membekalkan alat dikatakan boleh mengesan asid deoksiribonukleik (DNA) babi menafikan pihaknya mengelirukan masyarakat, mengatakan alat yang dikenali sebagai “Pork Meat Test” itu adalah satu mekanisma saringan berasaskan prinsip immunokromatografi.

Ketua Pegawai Eksekutif Iftitah Solutions (M) Sdn Bhd, Abdul Syukor Othman berkata immunokromatografi ialah ikatan antigen antibodi yang digunakan untuk mengesan unsur protein babi.

“Prinsip ujian immunokromatografi adalah berbeza sama sekali dengan kaedah ujian DNA, namun ia merupakan salah satu ujian semi-kuantitatif yang diterima pakai.

“Kaedah ujian ini tidak memerlukan kos yang tinggi selain prosedur ujian yang lebih mudah dan cepat berbanding ujian DNA,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan, hanya keputusan oleh makmal Jabatan Kimia Malaysia sahaja yang boleh dijadikan bukti bagi mana-mana kes pengesanan DNA babi dalam produk makanan.

Ketua Pengarah Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata penggunaan alat mengesan DNA babi dalam produk tanpa autoriti dan dilakukan secara individu, dibimbangi akan menimbulkan kecelaruan dalam kalangan masyarakat.

Abdul Syukor mengakui Jakim adalah badan berautoriti bagi menentukan status halal dan Jabatan Kimia Malaysia adalah pihak yang perlu dirujuk dalam penentuan kandungan dalam sesuatu produk.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Pork Meat Test adalah alat yang sesuai digunakan oleh pengguna sebagai mekanisma saringan terhadap produk yang diragui selain amat berguna kepada pelancong ke luar negara.

“Ujian yang dilakukan lebih kepada usaha individu meningkatkan keyakinan mereka terhadap sesuatu produk yang sebelum ini tidak mempunyai sebarang mekanisma ujian yang dapat dijalankan sendiri.

“Namun keputusan ujian hanyalah untuk menentukan kehadiran unsur babi bukan penentuan halal dan haram,” katanya.