Annuar: Lebih banyak dakwaan rasuah ke atas Umno selepas PH kalah PRK

Annuar Musa (tengah) bersama Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin (kanan) dan Timbalannya, Datuk Yakub Khan di Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa hari ini mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) berdepan “tekanan secara mendadak” untuk melakukan lebih banyak pendakwaan rasuah ke atas pemimpin Umno dan PAS, susulan kekalahan gabungan itu dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands, bulan lalu.

Annuar bagaimanapun mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas dakwaan pemimpin PAS menerima dana RM90 juta daripada Umno, tetapi beliau percaya tidak akan ada sebarang penemuan.

“Bagi Umno, akaun kami sudah diperiksa SPRM. RM90 juta ialah jumlah besar. Saya pasti mereka akan menjumpainya dahulu (jika dakwaan itu benar), tetapi siasatan SPRM dialu-alukan,” katanya selepas menemui pemimpin Umno Sabah di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Ketereh itu memberi amaran kepada PH akan kalah dalam PRK Semenyih juga.

“Kami mahu beritahu kerajaan, anda tidak boleh memperbodohkan rakyat sepanjang masa. Anda boleh tipu sesetengah orang beberapa kali atau sepanjang masa, tetapi bukan semua orang pada setiap masa.

“Rakyat sudah mengadilinya, ramai yang terpedaya dengan janji palsu, sikap dan prestasi lemah menteri.”

SPRM mula menyiasat dakwaan pemimpin PAS menerima RM90 juta, beberapa hari selepas penyelesaian luar mahkamah saman fitnah oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Agensi anti-rasuah itu hari ini mengambil keterangan bekas timbalan presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz.