Belanda yakin Rusia sedia bincang mengenai MH17

Pada Mei 2018, kerajaan Belanda dan Australia mempertanggungjawabkan Rusia ke atas kemusnahan pesawat MH17. (Gambar Reuters)

AMSTERDAM: Kerajaan Belanda berkata ia “semakin yakin” pegawai Rusia bersedia bertemu dalam masa terdekat untuk berbincang mengenai pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh penerbangan MH17 milik syarikat penerbangan Malaysia, MAS, pada 2014.

Penyiasatan antarabangsa diketuai Belanda menyimpulkan bahawa jet penumpang itu yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh oleh peluru berpandu Rusia. Moscow menafikan penglibatan.

“Kami berhubung dengan Rusia mengenai akauntibiliti nasional melalui saluran diplomatik,” kata jurucakap Kementerian Luar negara itu.

“Kini kami semakin yakin untuk duduk berbincang dengan Rusia dalam masa terdekat.”

MH17 ditembak jatuh sewaktu melepasi ruang udara sebuah wilayah yang dikuasai puak pemisah yang disokong Rusia di timur Ukraine pada Julai 2014 membunuh kesemua 298 penumpang. Kira-kira 2/3 daripada mangsa merupakan warga Belanda.

Pada Mei 2018, kerajaan Belanda dan Australia berkata, mereka akan mempertanggungjawabkan Rusia ke atas kemusnahan pesawat itu selepas penyiasatan mengenal pasti sistem peluru berpandu “Buk” yang dipercayai menembak jatuh MH17 dimiliki oleh Briged Anti-Pesawat ke-53 yang berpangkalan di Kursk di barat Rusia.

Pada waktu itu, presiden Rusia, Vladimir Putin berkata, pesawat penumpang tersebut tidak ditembak jatuh oleh peluru berpandu Rusia.