BN tidak dedah terma ‘opsyen jual’ ketika beli syarikat Indonesia kerana sulit, kata Najib

Najib berkata, bukan mudah untuk mendapat peluang membeli kepentingan dalam ladang kelapa sawit 4 kali ganda luas Singapura memandangkan tanah di Malaysia sudah terhad. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan pimpinan beliau sebelum ini tidak mendedahkan perjanjian pembelian 37% saham syarikat perladangan sawit Indonesia, Eagle High Plantations oleh Felda pada 2017 kerana ia adalah sulit.

Susulan itu kata beliau, Pakatan Harapan (PH) mengambil kesempatan atas tidak faham rakyat mengenai proses pencatuman dan pengambilalihan (M&A) untuk menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) terlebih bayar dan beliau pula didakwa menggunakan wang rakyat untuk membantu pemilik Eagle High yang dikatakan kawannya.

“Pada masa itu kerajaan BN tidak senang untuk mengumumkan terma “opsyen jual” (put option) kerana syarat perjanjian jual beli adalah sulit.

“Tetapi keadaan itu telah digunakan oleh PH untuk memfitnah,” katanya.

“Pada 2017, kerajaan BN dituduh terlebih bayar apabila Felda membeli kepentingan 37% kepentingan dalam syarikat ini (Eagle High Plantations) dengan harga AS$505.4 juta (RM2 bilion) sebagai pelaburan jangka panjang.

“Masa itu pembelian blok 37% adalah pada harga lebih tinggi berbanding harga saham yang disenaraikan di pasaran saham Indonesia,” katanya di laman Facebooknya hari ini.

Najib yang mengulas laporan media berhubung langkah kerajaan PH membatalkan pembelian 37% saham syarikat berkenaan berkata, seperti dilaporkan urus niaga asal itu dilengkapi dengan opsyen jual (put option) yang membolehkan syarikat perladangan milik Malaysia menjual semula ekuiti yang dibeli dengan harga AS$505.4 juta berserta caj faedah tahunan sebanyak 6% yang ditanggung oleh syarikat Indonesia itu.

Beliau berkata, laporan itu akhirnya mendedahkan terma penting pembelian tersebut yang tidak diketahui umum sebelum ini, yang membolehkan syarikat negara menuntut balik semua wang yang telah dibayar berserta faedah sebanyak 6% setahun.

Katanya, terma itu bermakna kerajaan bukan sahaja akan mendapat balik semua pelaburannya, tetapi juga mendapat keuntungan kerana pembelian itu dibiayai dengan pinjaman bon dengan kadar faedah 3.85%.

“Maka wang rakyat tetap terpelihara dan kita tidak akan rugi, sekali gus membuktikan tohmahan PH bahawa Felda akan rugi dengan membeli Eagle High adalah satu lagi fitnah,” tambah beliau.

Bagaimanapun kata Najib, walaupun menjadi hak kerajaan PH untuk membatalkan pembelian Eagle High dan menuntut wang pembelian dibayar balik, adalah tidak mustahil negara akan terlepas keuntungan besar sekiranya nilai syarikat itu naik apabila harga sawit memulih pada satu masa nanti.

Beliau berkata, pada 2009 kerajaan BN juga dikecam oleh PH kerana didakwa terlebih bayar ketika Maybank membeli Bank Internasional Indonesia (BII) yang kemudiannya dinamakan Maybank Indonesia, tetapi membisu selepas itu apabila pembelian tersebut terbukti berjaya dan membawa keuntungan.

“Bukan mudah untuk mendapat peluang membeli kepentingan dalam ladang kelapa sawit yang sudah ditanam dengan keluasan 4 kali ganda negara Singapura dengan harga RM2 bilion memandangkan tanah di Malaysia sudah terhad,” katanya.