Dr M belum dapat maklumat dakwaan ijazah palsu Marzuki

Marzuki Yahya dilaporkan berkata, beliau mendapat kelulusan daripada Cambridge International University di Amerika Syarikat, bukannya Universiti Cambridge di United Kingdom. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad belum mendapat maklumat penuh berhubung isu kelayakan akademik Timbalan Menteri Luar dan Setiausaha Agung PPBM, Datuk Marzuki Yahya.

“Kami belum mendapat maklumat apa yang sebenarnya berlaku,” katanya dipetik Bernama selepas menyampaikan ucaptama pada Majlis Perhimpunan Perdana Perpaduan 2019 di George Town hari ini.

Pada 4 Februari lalu, aktivis politik, Muhsin Abdul Latheef membuat laporan polis terhadap dakwaan pengguna Facebook bernama Zulfahan Pagon mengenai program pengajian jarak jauh bagi kursus pentadbiran perniagaan yang diambil Marzuki tidak wujud di Universiti Cambridge.

Hari ini, Marzuki dilaporkan berkata, beliau mendapat kelulusan daripada Cambridge International University (CIU) di Amerika Syarikat, bukannya Universiti Cambridge di United Kingdom.

Katanya, beliau tidak pernah memasukkan sebarang maklumat berkaitan pendidikannya di Wikipedia dan tidak pernah mengarahkan sesiapa berbuat demikian.

Beliau turut melampirkan salinan transkrip rekod akademik dan sijil Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Logistik) CIU.

Marzuki menyerahkan kedudukannya dalam kerajaan dan PPBM kepada Dr Mahathir serta kepimpinan parti tentukan.

Sementara itu, Bernama melaporkan semua 13 bahagian PPBM di Pulau Pinang yang diketuai Setiausaha negerinya, Azahari Aris menyuarakan sokongan terhadap kepimpinan Marzuki sebagai pengerusi PPBM Pulau Pinang dan setiausaha agung.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, PPBM belum membuat keputusan untuk melebarkan sayap ke Sabah.

“Kita buat keputusan dalam mesyuarat. Kita adakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi dulu (sebelum membuat apa-apa keputusan melebarkan sayap ke Sabah),” katanya mengulas kenyataan bekas pengerusi Umno Sabah yang juga Adun Sulaman, Datuk Seri Hajiji Noor yang PPBM akan melebarkan sayap ke Sabah tidak lama lagi.

Ketua Menteri yang juga Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal dilaporkan berharap perkara itu tidak berlaku kerana Warisan dan PPBM sudah mencapai kata sepakat mengenainya.