Hampir 200 warga Bangladesh dikurung di Sumatera

Migran Bangladesh dikurung tanpa diberikan makanan serta minuman sejak beberapa hari.

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia menemui 193 warga Bangladesh dikurung di sebuah rumah di pulau Sumatera, Indonesia, lapor agensi berita Anadolu memetik media tempatan lewat Khamis.

Kompas melaporkan polis menemui migran tanpa izin berumur dalam lingkungan 20-an itu semasa serbuan di sebuah bangunan di bandar Medan, Sumatera utara pada Selasa.

Mereka dipercayai menjadi mangsa penipuan sindiket pemerdagangan manusia yang berjanji untuk membawa mereka ke Malaysia dan dikurung tanpa diberikan makanan serta minuman sejak beberapa hari.

Pihak berkuasa tempatan mengatakan mereka dikurung sejak 4 bulan lalu.

Semua mangsa akan dihantar pulang ke negara asal sebaik urusan berkaitan kes itu selesai.