Jabatan Perhutanan Perak belum terima arahan henti pembalakan di Gerik

PETALING JAYA: Jabatan Perhutanan Perak belum mengeluar sebarang notis pemberhentian aktiviti pembalakan berhampiran kawasan Orang Asli Kampung Tasik Cunex di Gerik.

Pengarahnya, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, pihaknya belum menerima arahan daripada mana-mana pihak untuk menghentikannya termasuk dari kerajaan negeri mahupun pusat.

“Sehingga kini jabatan perhutanan negeri belum mengeluarkan notis pemberhentian kerja kepada pelesen,” katanya kepada FMT.

Semalam, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) memaklumkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Waytha Moorthy akan turun padang bagi mengadakan perjumpaan dengan pihak yang terlibat.

“Buat masa ini, Jakoa mencadangkan agar aktiviti pembalakan tersebut dapat ditangguh buat sementara waktu sehingga perjumpaan tersebut diadakan,” kata Presiden Jakoa, Ajis Sitin.

Ia susulan pertikaian Orang Asli dengan Jabatan Perhutanan Perak apabila mereka mendakwa kerajaan negeri menceroboh tanah adat mereka.

Sementara itu, penduduk Tasik Cunex ketika dihubungi memaklumkan aktiviti itu masih berjalan seperti biasa.

“Aktiviti pembalakan masih berjalan macam biasa kami tengok.

“Semalam kami juga membuat laporan polis lagi, kerana kami dapati terdapat pokok balak yang siap ditebang dan sedia untuk dibawa keluar, kami akan terus melakukan ‘blockade’,” kata wakil penduduk yang enggan dinamakan.

Mereka juga mengaku mengadakan perjumpaan dengan Jabatan Perhutanan Perak dan perkara itu turut disahkan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka).

caption: (gambar sekatan orang asli gerik)
Orang Asli Kampung Tasik Cunex di Gerik membantah pembalakan di tanah adat mereka.