Kes RM90 juta: Bekas timbalan presiden PAS hadir di SPRM

Nasharudin Mat Isa pernah didakwa menerima dana berkaitan 1MDB pada 2017. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Datuk Nasharudin Mat Isa hari ini hadir bagi memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tuduhan PAS menerima dana RM90 juta daripada Umno.

Bekas timbalan presiden PAS itu tiba di ibu pejabat SPRM pada jam 8.40 pagi.

Pada April 2017, Rafizi Ramli yang ketika itu ahli Parlimen Pandan mendakwa Nasharudin pernah menerima dana berkaitan 1MDB.

Dalam akuan bersumpah yang ditandatanganinya, Rafizi berkata perkara itu diberitahu kepadanya oleh seorang bekas pegawai “paling kanan” dari SPRM yang terlibat dalam siasatan mengenai dakwaan salah guna dana 1MDB.

Rabu lalu, SPRM mengesahkan menerima laporan berhubung wang RM90 juta disyaki dari 1MDB didakwa dimasukkan ke dalam akaun beberapa pemimpin PAS.

Menurut kenyataan SPRM, satu laporan polis dibuat orang awam pada 5 Februari dan laporan berkenaan dirujuk kepada SPRM.

Semalam, PAS berkata ia sedia menyerahkan semua dokumen kewangannya untuk membantu siasatan SPRM dan dokumen itu akan membuktikan dakwaan tersebut tidak benar, dusta dan fitnah semata-mata.

PAS juga menyeru pihak yang mempunyai maklumat berhubung dakwaan tersebut tampil membantu siasatan.

Husam tidak hadir

Sementara itu, bekas naib presiden PAS, Datuk Husam Musa yang sepatutnya hadir di ibu pejabat SPRM, bagaimanapun tidak kelihatan.

“Tidak ada sesiapa menghubungi saya,” katanya ketika dihubungi FMT apabila ditanya jika beliau diminta memberi keterangan di SPRM.

Pada November 2017, naib presiden Amanah itu berkata, beliau melihat sendiri bukti PAS menerima wang daripada Umno, dan jumlahnya lebih RM90 juta, angka yang diberikan Sarawak Report.