Kes RM90 juta: Nasharudin kemuka akaun peribadi, yayasan kepada SPRM

Nasharudin berkata, beliau mengemukakan akaun peribadinya dan akaun Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global kepada SPRM.

PUTRAJAYA: Datuk Nasharudin Mat Isa berkata, beliau mengemukakan akaun peribadinya dan akaun Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) yang sebelum ini diterajuinya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bekas timbalan presiden PAS itu berkata, dokumen berkenaan “dipertontonkan” kepada SPRM semasa beliau diambil keterangan oleh agensi terbabit.

“Saya amat berpuas hati dengan pertemuan tadi dan harapan kita biarkan SPRM menjalankan tugas mereka.

“Saya amat berterima kasih dapat memberi penjelasan beserta buktinya,” kata beliau kepada pemberita di luar ibu pejabat SPRM, hari ini.

Terdahulu, Nasharudin tiba di ibu pejabat SPRM pada jam 8.40 pagi.

Pada April 2017, Rafizi Ramli yang ketika itu ahli Parlimen Pandan mendakwa Nasharudin pernah menerima dana berkaitan 1MDB.

Dalam akuan bersumpah yang ditanda tanganinya, Rafizi berkata, perkara itu diberitahu kepadanya oleh seorang bekas pegawai “paling kanan” SPRM yang terlibat dalam siasatan mengenai dakwaan salah guna dana 1MDB.

Rabu lalu, SPRM mengesahkan menerima laporan berhubung wang RM90 juta disyaki diperolehi daripada 1MDB yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun beberapa pemimpin PAS.

Menurut kenyataan SPRM, satu laporan polis dibuat orang awam pada 5 Februari dan laporan berkenaan dirujuk kepada SPRM.

Semalam, PAS berkata, ia sedia menyerahkan semua dokumen kewangannya untuk membantu siasatan SPRM dan dokumen itu akan membuktikan dakwaan tersebut tidak benar, dusta dan fitnah semata-mata.

PAS juga menyeru pihak yang mempunyai maklumat berhubung dakwaan tersebut tampil membantu siasatan.

Mengulas lanjut, Nasharudin turut berharap semua pihak yang mempunyai bukti berhubung wang RM90 juta didakwa daripada 1MDB untuk tampil ke hadapan dan memberikan kerjasama mereka.

Nasharudin berkata, selepas ini beliau akan menyambung memberikan keterangan kepada SPRM kira-kira jam 3.30 petang.

Siasatan SPRM dibuat susulan penyelesaian di luar mahkamah yang dicapai antara presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan editor Sarawak Report, Claire Rewcastle-Brown awal bulan ini. berhubung satu saman fitnah yang difailkan sebelum itu.

Pada 21 April 2017, Hadi memfailkan saman terhadap Claire di Mahkamah Tinggi London, kerana mendakwa pimpinan tertinggi parti itu menerima wang sebanyak RM90 juta daripada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi menarik mereka menyokong Umno dan BN.