Mahkamah Tinggi tolak permohonan badan bertindak, penganut kuil sertai inkues

Mahkamah Tinggi memutuskan badan bertindak dan penganut Kuil Sri Maha Mariamman tidak boleh menjadi pihak berkepentingan dalam inkues ke atas kematian Muhammad Adib Mohd Kassim.

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi menolak permohonan badan bertindak dan penganut Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya untuk terbabit dalam inkues ke atas kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Hakim, Datuk Abd Karim Abd Rahman berkata pemohon “tiada neksus” dengan insiden itu untuk menjadi pihak berkepentingan dan menyertai prosiding itu.

Peguam, M Visvanathan yang mewakili pasukan petugas itu berkata, hakim berpendapat anak guamnya hanya berada di sana untuk menyelesaikan pertikaian tanah dengan pemilik hartanah dan isu pemindahan kuil itu.

“Kami akan membuat rayuan terhadap penghakiman hari ini kerana timbul persoalan undang-undang yang serius,” katanya kepada FMT.

Visvanathan kecewa dengan peguam bagi Jabatan Peguam Negara serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kerana membantah permohonan badan bertindak itu menjadi pihak berkepentingan dalam inkues berkenaan.

“Nampaknya tidak akan ada ketelusan kerana peguam mewakili kerajaan menentang penyertaan anak guam saya dalam prosiding ini.”

Pada 31 Januari lalu, koroner Rofiah Mohamad menolak permohonan 50 penganut dan badan bertindak Kuil Sri Maha Mariamman Seafield menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues itu kerana tiada “alasan substantif dan munasabah”.

“Inkues ini bukan untuk mencari liabiliti jenayah, tetapi membantu mahkamah mencari punca kematian,” katanya pada akhir bulan lalu.

Majlis Peguam, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, keluarga Adib, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat diberi kebenaran untuk membantu inkues itu.

Inkues akan dimulakan Isnin depan hingga 28 Februari ini, 1 hingga 5 Mac, 19 hingga 29 Mac serta 1 hingga 12 April. Seramai 30 saksi dijangka memberi keterangan.

Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam keganasan di depan Kuil Sri Maha Mariamman, pada 27 November lalu.

Anggota bomba berusia 24 tahun itu meninggal dunia pada malam 17 Disember lalu, 3 minggu selepas dirawat di Institut Jantung Negara.