MH17: Kami sedia bincang dengan Belanda, kata Rusia

MH17 ditembak jatuh di wilayah dikuasai puak pemisah pro-Rusia di timur Ukraine pada Julai 2014, menyebabkan 298 penumpang dan anak kapal terbunuh. (Gambar Reuters)

MOSCOW: Rusia sedia berbincang dengan Belanda mengenai insiden pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 ditembak jatuh pada 2014, kata Timbalan Menteri Luarnya, Alexander Grushko hari ini.

“Dialog kami tidak berhenti, termasuk di peringkat politik. Kami menyentuh isu-isu itu, kami sedia untuk mengadakan perbincangan,” katanya dipetik agensi berita Interfax.

Kenyataan itu menyusul komen Kementerian Luar Belanda yang berkata, ia “semakin yakin” pegawai Rusia sedia mengadakan perbincangan berkaitan pihak bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17 pada 2014.

MH17 ditembak jatuh di wilayah dikuasai puak pemisah pro-Rusia di timur Ukraine pada Julai 2014, menyebabkan semua 15 anak kapal dan 283 penumpang yang kira-kira 2/3 ialah warganegara Belanda, terbunuh.

Pada Mei 2018, kerajaan Belanda dan Australia berkata, Rusia bertanggungjawab menembak jatuh pesawat itu.

Bagaimanapun, Rusia menafikan pembabitannya dalam tragedi itu dan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov dilaporkan berkata, tidak wajar Australia dan Belanda meminta Moscow membayar pampasan.