Najib berdepan 3 lagi dakwaan pengubahan wang haram

(Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berdepan 3 lagi dakwaan berkaitan pengubahan wang haram berjumlah RM47 juta berhubung kes SRC International Bhd, sehari selepas pertuduhan yang sama ditarik balik Mahkamah Tinggi.

Bekas perdana menteri itu hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen apabila pertuduhan dibacakan kepadanya.

Najib didakwa terlibat dalam pemindahan wang haram menerusi 3 akaun bank AmPrivate miliknya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014 di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Aktiviti Keganasan 2001.

Jika sabit kesalahan, Najib boleh didenda hingga RM5 juta atau dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-dua sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup memberitahu hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad bahawa pihak pendakwa memohon kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan tiada jaminan tambahan dikenakan ke atas tertuduh.

“Beliau boleh bebas dengan bon peribadi tanpa penjamin,” katanya.

Azman menetapkan 8 Mac depan untuk kes itu disebut semula, sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi sama ada mahu menerima permohonan pihak pendakwa bagi memindahkan kes berkenaan.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengucapkan terima kasih kepada pendakwa kerana tidak mengenakan jaminan tambahan.

Najib dikenakan jaminan sebanyak RM6 juta untuk mendapat kebebasan apabila dikenakan 39 tuduhan lain.

Pada 28 Januari, 3 tuduhan tambahan itu dikenakan terhadap Najib di Mahkamah Tinggi, tetapi pendakwa menarik balik dakwaan itu semalam atas alasan teknikal.

Peguam Negara Tommy Thomas, yang hadir di depan hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata, Najib akan didakwa lagi di Mahkamah Sesyen.

Najib, 66, kini berdepan 42 pertuduhan sejak Julai lalu.

Najib juga berdepan 6 pertuduhan dikaitkan dengan pengubahan wang haram dan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta ke akaunnya dari SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Beliau juga didakwa menyalah guna kuasa sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman RM4 bilion SRC International dari Retirement Fund Inc.

Pada 20 September, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 4 pertuduhan rasuah melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.282 bilion dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Pada 25 Oktober, beliau bersama bekas ketua setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dikenakan 6 pertuduhan pecah amanah melibatkan RM6.6 bilion dimiliki kerajaan Malaysia.

Pada 12 Disember, 2018, bekas perdana menteri itu mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menggunakan kedudukannya dengan mengarahkan Laporan Audit Akhir mengenai 1MDB dipinda sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Perbicaraan terhadap 7 tuduhan pengubahan wang haram, salah guna kuasa dan pecah amanah terhadap Najib tahun lalu dikaitkan SRC International, dijadualkan bermula Selasa depan.