Nik Abduh hadir di SPRM berhubung kes RM90 juta

Nik Abduh memasuki bangunan SPRM untuk beri keterangan pagi tadi. (Gambar Facebook)

KOTA BHARU: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan, hari ini, bagi memberi keterangan berhubung siasatan berkaitan dana RM90 juta daripada 1MDB.

Nik Abduh, yang juga ahli Parlimen Bachok, tiba di Ibu Pejabat SPRM di Jalan Lundang, kira-kira pukul 10.20 pagi.

Beliau kemudian diiringi 2 pegawai SPRM masuk bangunan SPRM untuk beri keterangan.

Portal berita semalam melaporkan 3 ahli politik dijangka hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima RM90 juta disyaki daripada 1MDB yang dikatakan dimasukkan ke akaun beberapa pemimpin PAS.

Difahamkan, ketiga-tiga ahli politik itu dari pelbagai parti politik, termasuk PAS dan Amanah.

Dua daripada mereka akan memberi keterangan di Ibu pejabat SPRM Putrajaya, manakala seorang di Pejabat SPRM Kelantan.

Semua ahli politik tersebut dipercayai pernah berkhidmat di sebuah negeri di pantai timur.

Semalam, Pakatan Harapan (PH) Bachok membuat laporan polis terhadap pemilik sebuah blog yang mengaku hadir ketika Nik Abduh membuat pengakuan mengenai isu pemimpin PAS menerima dana daripada Umno.

Pengerusi PH Bachok, Mohd Zulkifli Zakaria dalam laporannya memberitahu, beliau, pada 5 Februari lalu, menerima mesej melalui WhatsApp mengenai artikel di blog www.milosuam.net milik “Abu Ulwan” yang bertajuk “Lagi Ahli PAS Tampil Jadi Saksi Dengar Nik Abduh Mengaku Terima Duit Umno”.

Katanya lagi siasatan juga perlu dilakukan ke atas Facebook “Abu Ulwan” kerana melalui akaun Facebooknya juga “Abu Ulwan” menegaskan dia sanggup bermuhabalah (sumpah laknat) dengan Nik Abduh asalkan perkara itu dibawa ke muka pengadilan dan sanggup hilang keanggotaan PAS jika dia kalah.

“‘Abu Ulwan’ juga memuat naik ilustrasi lukisan kedudukannya dalam majlis yang dikatakan Nik Abduh mengaku pemimpin PAS mengambil duit Umno,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok, semalam.

Hadir sama, Ketua Cabang PKR Bachok, Datuk Mohd Rowi Dollah serta ahli Amanah dan PPBM Bachok.