Pemilik akaun bank luar negara yang belum lapor pendapatan sila ke LHDN

(Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Individu yang ada akaun bank di luar negara dan pendapatan yang belum dilaporkan diminta segera hadir ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Seri Sabin Samitah berkata, pihaknya telah mengeluarkan surat dan e-mel khusus kepada pembayar cukai yang mempunyai akaun bank di luar negara yang masih gagal membuat pelaporan cukai yang sepatutnya.

“Pembayar cukai dalam kategori inilah yang diminta dalam surat dan e-mel LHDN untuk menghubungi dan melaporkan pendapatan tersebut kepada LHDN,” katanya.

Beliau berkata, lembaga itu mula menerima maklumat kewangan khususnya pemilikan akaun bank dari luar negara mulai September 2018 di bawah inisiatif Pertukaran Maklumat Secara Automatik (AEOI) oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

LHDN memperkenalkan inisiatif Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) sebagai satu daripada kaedah penyelesaian cukai bagi mereka yang mempunyai pendapatan yang dijana daripada hasil sumber pendapatan Malaysia yang boleh dikenakan cukai dan disimpan di akaun bank di luar negara tetapi pendapatan tersebut masih belum dilaporkan.

Di bawah program tersebut, kerajaan bersetuju memberi kelonggaran pengurangan bayaran penalti daripada 300% kepada 10% sekiranya pelaporan dibuat pada atau sebelum 31 Mac, 2019 dan 15% sekiranya pelaporan dibuat pada atau sebelum 30 Jun, 2019.

Dalam perkembangan lain, Sabin berkata tindakan telah diambil terhadap aduan mengenai segelintir pegawainya yang menjalankan tugas secara tidak profesional, mengugut pembayar cukai dan tidak mengikut prosedur kerja yang ditetapkan.

“LHDN memberi jaminan aktiviti audit atau siasatan tidak akan melibatkan serbuan ke atas rumah pembayar cukai pada tengah malam,” katanya.