Perak perlukan sumber kayu, MB pertahan pembalakan di Gerik

Ahmad Faizal Azumu berkata kerajaan Perak akan menyiasat kes pencerobohan tanah di negeri itu.

PETALING JAYA: Aktiviti pembalakan perlu dijalankan di Perak kerana negeri itu memerlukan sumber kayu, kata menteri besar Perak.

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata jika industri perkayuan dihentikan, ia memberi kesan kepada banyak pihak dan ramai yang akan hilang pekerjaan.

“Saya harap pihak yang mahu menyekat usaha pembalakan perlu fikir lebih jauh,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis perayaan Tahun Baru Cina anjuran Dewan Perniagaan dan Industri Cina Perak, di Ipoh, hari ini.

Faizal berkata, pembalakan berhampiran kawasan Orang Asli, Kampung Tasik Cunex di Gerik dilakukan Jabatan Perhutanan Perak.

“Pendirian saya sama dengan apa yang dijelaskan pengarah jabatan perhutanan yang mengatakan pembalakan yang dijalankan adalah lestari,” katanya.

Menurutnya, pembalakan hanya dilakukan di kawasan yang terdapat pokok-pokok yang boleh ditebang sahaja.

“Kawasan pembalakan juga bukan kawasan yang diwartakan sebagai tanah rayau dan sebagainya.

“Setakat ini saya tidak pergi lagi ke sana (Kampung Tasik Cunex), tapi pendirian saya sama dengan pengarah jabatan hutan. Saya pertahan kenyataan itu. Saya sentiasa melawat (kawasan Orag Asli) dan masalah di setiap kawasan berbeza,” katanya.

Faizal mengulas kejadian di kawasan tersebut di mana Orang Asli mendakwa kerajaan negeri menceroboh tanah adat mereka.

Bagaimanapun, Jabatan Perhutanan Perak menjelaskan aktiviti itu selaras dengan kelulusan negeri dan tidak bertentangan dengan peraturan.

Dalam perkembangan lain, Faizal memberitahu, kerajaan Perak akan menyiasat kes-kes pencerobohan tanah di negeri itu.

Antara tanah yang dicerobohi itu, katanya, bukan di kawasan hutan simpan, tetapi digazetkan untuk pembangunan.