Polis halang kanak-kanak Rohingya 11 tahun kahwin lelaki 20 tahun

Bapa kanak-kanak perempuan itu mengaku mahu mengahwinkan anaknya atas alasan lelaki berusia 20 tahun itu dapat menjaga anaknya.

BUTTERWORTH: Polis di sini berjaya menghalang seorang kanak-kanak perempuan bangsa Rohingya berumur 11 tahun daripada melangsungkan perkahwinan dengan seorang lelaki berumur 20 tahun hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, keluarga kanak-kanak itu bersetuju menangguhkan perkahwinan itu, setelah dinasihati pegawai polis yang turut dibantu pegawai tadbir agama daerah ini.

“Kami juga memaklumkan jika mereka ingin meneruskan perkahwinan, mereka perlu melalui proses permohonan perkahwinan dengan pihak pejabat agama Islam dan mahkamah. Mereka mengaku faham dan akan patuh pada arahan,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Menurutnya, satu laporan polis dibuat pengarah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di sini, Rabu lalu yang mendedahkan kanak-kanak terbabit yang merupakan bekas pelajar di pusat pembelajaran kelolaan NGO itu, akan dikahwinkan.

“Susulan laporan polis yang dibuat lelaki itu, polis berjaya mengesan kanak-kanak perempuan berkenaan dan keluarganya di Taman Perai, di sini serta mengadakan pertemuan bagi mendapatkan penjelasan daripada mereka berhubung laporan berkenaan.

Azhan berkata, bapa kanak-kanak itu yang berusia 46 tahun dan bekerja sebagai buruh kontrak mengaku mahu mengahwinkan anaknya dengan seorang lelaki berusia 20 tahun atas alasan lelaki itu dapat menjaga anaknya.

Katanya, susulan persetujuan keluarga kanak-kanak perempuan tersebut menangguhkan perkahwinan itu, polis sudah memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang akan memantau kanak-kanak perempuan itu dari semasa ke semasa.

Menurutnya, Pesuruhjaya Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) turut dimaklumkan berhubung perkara itu, ekoran semua yang terlibat dalam kes itu merupakan pemegang kad UNHCR.