Saudi denda rakyat dera haiwan, suntik botox pada unta

Rakyat Arab Saudi berbangga jika memiliki unta yang cantik dan seksi. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Kementerian Alam Sekitar, Air dan Pertanian Arab Saudi mengenakan denda sehingga 500,000 riyal (RM543,000) terhadap individu yang mendera haiwan, termasuk menyuntik botox pada unta, lapor Stepfeed.

Peraturan yang dilaksanakan di 5 wilayah iaitu Riyadh, Mekah, Ha’il, Madinah dan Wilayah Timur merupakan sebahagian peraturan baru yang dikeluarkan kementerian itu bagi membantah semua bentuk penderaan haiwan.

Pengarah Urusan Jabatan Kesihatan Haiwan Awam, Dr Ali Al Dowairej dipetik sebagai berkata kebanyakan kes penderaan termasuklah menyuntik botox pada unta dan mendera kucing liar.

Katanya, sesetengah individu didenda kerana menggunakan ubatan veterinar tanpa lesen dan menjualnya secara haram.

Menjadi satu kebanggaan kepada rakyat Arab Saudi jika mereka memiliki unta berkepala besar, bibir tebal dan hidung besar. Seperti manusia, haiwan tersebut disuntik botox supaya kelihatan cantik dan seksi.