Saya tak pernah tipu latar belakang akademik, kata Marzuki

Marzuki Yahya menyerahkan kedudukannya dalam kerajaan dan PPBM kepada perdana menteri serta kepimpinan parti tentukan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya berkata beliau tidak pernah mengaku atau menipu mempunyai kelayakan daripada Universiti Cambridge, susulan dakwaan beliau memiliki ijazah palsu.

Setiausaha agung PPBM itu berkata, beliau mendapat kelulusan daripada Cambridge International University (CIU) di Amerika Syarikat, bukannya Universiti Cambridge di United Kingdom.

Katanya, beliau tidak pernah memasukkan sebarang maklumat berkaitan pendidikannya di Wikipedia dan tidak pernah mengarahkan sesiapa berbuat demikian.

“Sepertimana yang kita sedia maklum, sesiapa sahaja boleh memasukkan maklumat ke dalam laman web Wikipedia. Ianya juga boleh diedit oleh sesiapa sahaja pada bila-bila masa.

“Sejujur dan seikhlasnya, saya tidak pernah berniat menggunakan kelayakan akademik yang ada bagi mengelirukan sesiapa.

“Ketika itu, tidak pernah terlintas di hati saya suatu hari nanti saya akan berada pada kedudukan hari ini sebagai seorang anggota pentadbiran kerajaan,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini sambil melampirkan salinan transkrip rekod akademik dan sijil Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Logistik) CIU.

Seorang aktivis politik, Muhsin Abdul Latheef sebelum ini meminta polis menyiasat dakwaan Marzuki memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Universiti Cambridge melalui program pengajian jarak jauh (PJJ) yang dikatakan tidak wujud.

Marzuki berkata, beliau menyertai program PJJ bersama CIU pada 2002, ketika menjadi ketua pegawai eksekutif syarikat perkapalan dan logistik miliknya di Pulau Pinang.

Katanya, beliau menyertai program PJJ itu untuk menimba ilmu dalam industri perkapalan dan logistik demi memajukan perniagaannya.

Beliau berkata, ketika memulakan kursus itu pada 2002 dan lulus 3 tahun kemudian, Malaysia serta masyarakat dunia belum memberi perhatian terhadap akreditasi universiti secara meluas.

Katanya, ketika itu belum ada sistem ranking universiti terkenal dan tersusun seperti sekarang atau senarai universiti palsu.

“Saya mendaftarkan diri tanpa memberikan penekanan kepada aspek akreditasi kursus yang ditawarkan.”

Marzuki menyerahkan kedudukannya dalam kerajaan dan parti kepada Tun Dr Mahathir Mohamad serta kepimpinan parti tentukan.