Sistem pendidikan negara akan lebih baik, kata jawatankuasa kajian dasar

Gambar Bernama.

KUALA LUMPUR: Meskipun berdepan pelbagai cabaran, Pengerusi Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara, Prof Ibrahim Ahmad Bajunid percaya sistem pendidikan negara akan menjadi lebih baik pada masa akan datang.

Katanya, sistem pendidikan negara perlu bergerak seiring dengan peredaran semasa bagi membolehkan perubahan dilakukan di peringkat dasar.

“Zaman sekarang teknologi, misalnya, sudah berkembang maju, robot pun boleh bercakap seperti manusia, tetapi adakah pendidikan teknologi dapat dikembangkan dalam kalangan Orang Asli serta rakyat Sabah dan Sarawak? Perkara ini kita kena lihat.

“Namun, saya percaya sistem pendidikan negara boleh diubah. Salah satu sebab mengapa Malaysia nombor 1 dalam industri perkhidmatan kesihatan adalah kerana pendidikan negara,” katanya pada sidang media di Kementerian Pendidikan, hari ini.

Apa yang perlu difahami rakyat adalah sistem pendidikan memerlukan masa untuk diubah.

“Ramai yang tidak faham bagaimana dasar pendidikan negara berfungsi. Kita tidak boleh mengubahnya dalam masa singkat.

“Pendidikan negara perlu sentiasa ditingkatkan. Apabila sekolah dibina, ia perlu dibaiki, bawa masuk guru, ia bersifat berterusan,” kata Ibrahim.

Pada masa yang sama, jawatankuasa juga berjanji tidak akan abaikan pandangan berunsur negatif, malah memastikan tiada campur tangan politik supaya dapat menghasilkan kajian secara menyeluruh.

Kementerian Pendidikan menubuhkan Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara pada 6 Jun 2018 bagi mengkaji semula dasar pendidikan negara termasuk menambah baik kurikulum dan sistem pendidikan dari peringkat pra sekolah sehingga universiti.

Sejak 18 Oktober lalu, jawatankuasa telah mengadakan pertemuan dengan lebih 5,000 orang menerusi pelbagai bentuk perbincangan secara bersemuka, sesi dialog, taklimat dan syarahan umum.

Mereka juga mempelawa orang ramai mengemukakan cadangan dan idea masing-masing secara dalam talian dan ia akan dilanjutkan sehingga 28 Februari ini.

Hasil kajian akan dikemukakan kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik April depan dan akan mengandungi syor mengenai pelaksanaan dasar pendidikan negara dengan menyeluruh.