Muhammad Syukur Khamis mengaku tidak dapat tidur lena sejak beberapa hari lalu. Dia juga tidak berselera kerana terlalu bersedih berikutan kerbau kesayangannya, Tongkol yang dijaga sejak 5 tahun selamat ditumbangkan untuk kenduri di rumahnya di Wakaf Tapai, Marang.

Ketika dihubungi, Syukur mengaku masih lagi terkejut namun ‘merestui’ Tongkol disembelih untuk meraikan majlis menyambut menantu 2 abangnya.

“Bukan semalam je, dah beberapa hari saya tak boleh lelapkan mata kerana terlalu sayang dengan Tongkol, lagipun dia antara kerbau yang jinak dan mudah untuk dijaga,” katanya ketika dihubungi FMT Ohsem.

Syukur yang digelar Syukur Kuba mengaku tidak berselera makan kerana mengenangkan ‘kawan rapatnya’ yang selamat disembelihkan selepas Subuh, awal pagi ini.

Malah Syukur turut berjanji tidak akan menyentuh Tongkol yang akan dijadikan hidangan utama sempena majlis berkenaan yang bakal dihadiri kira-kira 3,000 tetamu.

Menurut abangnya, Muhamad Alias, Tongkol disembelih di rumah rakan bapanya, di Kampung Tambak Baru, Wakaf Tapai, Marang sebagai menghormati perasaan adik bongsunya.

“Kami semua faham kerana bukan dia seorang saja yang sedih tapi kami sekeluarga namun kerana faktor umur Tongkol yang sudah mencapai tahap matang, dan perlu disembelih,” ujarnya yang akan melangsungkan perkahwinan bersama seorang lagi abangnya, hari ini.

Berkongsi cerita, Alias berkata, sejak mengetahui Tongkol akan disembelih, Syukur terus bermuram dan tidak bersemangat dan ada kalanya, dia menangis bersendirian di rumahnya.

“Mungkin ada kenangan indah antara mereka berdua menyebabkan adik terlalu sedih,”jelasnya.

Katanya, sepanjang cuti sekolah minggu lepas, ramai pengunjung dari luar Terengganu datang ke rumahnya untuk berjumpa Syukur namun, dia tetap “moody” dan tidak melayan seperti biasa.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]