Umno lepaskan 31.6% saham dalam Utusan Melayu

PETALING JAYA: Umno melepaskan 31.6% pegangan sahamnya dalam Utusan Melayu (M) Berhad kepada sebuah syarikat milik penuh Pengerusi Eksekutif Utusan, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir.

Utusan Online melaporkan parti itu menamatkan penguasaannya dalam Utusan dengan memindahkan 35 juta unit saham kepada Opulence Asia Sdn Bhd.

Aziz meletak jawatan sebagai pengerusi eksekutif Utusan pada 13 Disember lalu, 6 bulan selepas beliau dilantik ke jawatan itu disebabkan komitmen perniagaan peribadinya yang lain.

Bagaimanapun, bekas ahli Parlimen Kulim-Bandar Bahru itu kembali ke Utusan sebagai pengerusinya pada 31 Januari lalu.

Susulan kekalahan Barisan Nasional pada pilihan raya umum 9 Mei tahun lalu, ada pihak termasuk kesatuan sekerja Utusan menggesa Umno melepaskan sahamnya dalam syarikat terbabit.

Akhbar berbahasa Malaysia itu mampu bertahan selama ini dengan kontrak kerajaan yang diperolehi menerusi hubungannya dengan Umno.

Ogos lalu, syarikat itu dilaporkan mungkin dinyahsenaraikan daripada Bursa Malaysia, selepas ia diklasifikasikan sebagai syarikat Nota Amalan (PN17) kerana kewangannya tidak mencukupi.