Zahid teruskan kerjasama PAS-Umno, kerana ‘rakyat’ mahukan

Zahid Hamidi berterima kasih kepada PAS kerana sedia bersama Umno selepas kekalahan PRU14. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malam tadi berterusan membawa agenda kerjasama Umno dan PAS, mengatakan “rakyat” mahu melihat gandingan parti Melayu dan parti Islam terbesar di negara ini berdepan Pakatan Harapan di Putrajaya.

Presiden Umno berkata masyarakat Melayu dan Islam mencari alternatif politik lain kerana kecewa dengan pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, 93, selepas hampir 10 bulan memerintah.

“PH tidak menjawab sebarang harapan yang diletakkan dan disebabkan itu saya percaya mana-mana pemimpin kerajaan tidak melaksanakan janji, tidak melaksanakan amanah, bentuk kerajaan atas dasar fitnah, insyaAllah akan jatuh.

“Saya tidak mendoakan ke arah itu tetapi bunga-bunga sudah ada, memandangkan terdapat kekesalan kerana anak muda khususnya Melayu dijanjikan dengan penghapusan PTPTN,” katanya di forum mengenai kerjasama Umno-PAS di Sungai Sumun, Bagan Datuk.

Perkembangan ini menyusuli hasil kerjasama yang memberangsangkan pada pilihan raya kecil Cameron Highlands, yang menyaksikan calon Barisan Nasional berjaya mempertahankan kerusi tersebut daripada PH dan 2 calon bebas lain dengan sokongan jentera PAS.

Kedua-dua parti dijangka meneruskan kerjasama pada pilihan raya kecil DUN Semenyih yang akan bermula 16 Februari ini.

Zahid, menunjukkan tekad untuk bekerjasama dengan PAS, menawarkan kemudahan Umno di Parlimen Bagan Datuk untuk kegunaan PAS sebagai “tanda keikhlasan”.

Ketua PAS Bagun Datuk, Misbahul Munir Masduki menyambut tawaran itu dengan terima kasih.

Ditanya Misbahul sejauh mana hubungan antara PAS-Umno hari ini, Zahid mendedahkan kerjasama antara kedua-dua parti berkenaan ibarat “dekat di mata, dekat di hati”.

Zahid berbangga dia satu-satunya presiden Umno yang menghadapi mesyuarat agung tahun PAS, yang diadakan di Terengganu pada September lepas, dan berterima kasih kepada parti Islam itu kerana sedia bersamanya selepas kekalahan pada pilihan raya umum lalu.

Beliau berkata kekalahan Barisan Nasional suatu hikmah buat parti Melayu itu.

“Selama BN jadi kerajaan, mungkin ada dosa yang kita terlepas pandang dan kekalahan ini untuk bersihkan Umno dan BN.

“Malah kita tahu, siapakah yang tidak setia, kita kenal siapa lawan dan kawan. Kawan datang dan pergi namun sahabat kekal,” katanya.