Bekas ahli Parlimen ditahan SPRM, mungkin didakwa esok

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas ahli Parlimen bergelar “Datuk” di Johor berhubung 2 kes suapan wang ringgit dan sebidang tanah bernilai kira-kira RM230,000 hari ini.

Menurut sumber, lelaki yang berusia 56 tahun tersebut, yang juga bekas ahli lembaga pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada pukul 12.40 tengahari dan mungkin akan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru esok.

Difahamkan, bekas ahli Parlimen berkenaan semasa menjawat ahli lembaga pengarah Felda mengesyorkan dan meluluskan perlantikan sebuah syarikat pencetakan yang disyaki beliau mempunyai kepentingan bagi kerja-kerja penerbitan akhbar 1Suara di Felda daripada 2012 hingga 2015 yang dianggarkan bernilai lebih RM13 juta.

Sebagai balasan, pada 2013, beliau menerima suapan wang ringgit bernilai RM50,000 pada dan pada 2014, beliau menerima sebidang tanah di Mukim Kota Tinggi, Johor bernilai kira-kira RM180,000.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan beliau akan menghadapi 2 pertuduhan bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.