Lelaki dikhuatiri lemas setelah selamatkan sekeluarga di sungai Terengganu

Mangsa yang terdiri daripada 2 wanita dewasa dan 2 kanak-kanak perempuan diselamatkan orang awam yang sedang bersiar-siar dan memancing di sekitar kawasan itu. (Gambar Facebook)

KUALA TERENGGANU: 4 sekeluarga nyaris lemas selepas kenderaan pacuan 4 roda yang dinaiki mereka tergelongsor sebelum terjunam ke dalam Sungai Terengganu di Pulau Warisan, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, mangsa yang terdiri daripada 2 wanita dewasa dan 2 kanak-kanak perempuan diselamatkan beberapa orang awam yang sedang bersiar-siar dan memancing di sekitar kawasan itu.

Bagaimanapun, seorang lelaki, Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, dikhuatiri lemas ketika cuba menyelamatkan mangsa.

Ketua Cawangan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Terengganu, Mazimi Mohamad berkata, 21 pegawai dan anggota JBPM digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang awam kira-kira 9.45 malam.

“Ketika sampai keempat-empat mangsa telah diselamatkan orang awam. Kita turut menerima bantuan bot dan anggota penyelamat daripada pasukan polis marin dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, menurut saksi kejadian, kenderaan pacuan 4 roda tersebut dipercayai terjunam ke dalam sungai secara mengundur.

Sebelum kejadian, pemandu berkenaan dipercayai cuba mengalihkan kereta ketika gear berada dalam kedudukan mengundur.

“Keempat-empat mangsa diselamatkan dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

“Pada masa ini operasi mencari dan menyelamat (SAR) tertumpu kepada mangsa, Abdul Bari, manakala kenderaan Mitsubishi Storm telah ditemui kira-kira 20 meter dari tebing sungai kira-kira 1 pagi tadi,” katanya.