PRK Semenyih tidak sama dengan Cameron Highlands, kata PPBM

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata parti itu sedia berhadapan dengan PRK Semenyih, 2 Mac ini.

SEMENYIH: PPBM hari ini berkata parti itu bersedia menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 2 Mac ini, dengan menyifatkan situasi di Selangor berbeza dengan PRK di Cameron Highlands.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PPBM sudah pun melakukan taklimat dan penerangan di setiap peringkat sebagai persediaan untuk PRK tersebut, terutama yang melibatkan beberapa isu yang menjadi perhatian penduduk setempat.

“Selangor tidak menjadi isu besar. Ia berbeza dengan Cameron Highlands. Saya sudah mendengar dan jelaskan beberapa perkara berbangkit sebelum ini yang diputar-belitkan oleh pembangkang. Contohnya isu Melayu dan Islam,” katanya pada satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pusat daerah mengundi (PDM) di Eco Venture Park, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung PPBM, Datuk Marzuki Yahya.

Jelasnya, kata-kata kononnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mengambil berat isu Islam dan Melayu adalah tidak benar sama sekali.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, parti itu akan mengambil langkah lebih ke hadapan dengan memberikan penjelasan mengenai isu pokok yang sentiasa menjadi kekhuatitan pengundi.

“Seterusnya lepas isu pokok, kos sara hidup. Kita akan berikan penjelasan yang meyakinkan, terutamanya langkah yang kerajaan PH sudah lakukan untuk membantu mengatasi masalah kos sara hidup rakyat.

“Exco kita (PPBM) juga dah lakukan program prihatin di Selangor khususnya Semenyih. Jadi, kita akan jelaskan tindakan susulan untuk selesaikan kos sara hidup,” jelasnya.

Pada PRK Cameron Highlands, calon PH, M Manogaran tewas di tangan calon Barisan Nasional (BN), Ramli Md Nor yang memperoleh 3,238 undi majoriti atau 12,038 undi keseluruhan.

Muhyiddin juga berkata, parti itu menerima aduan daripada pemimpin tempatan berhubung kesesakan di Klinik Kesihatan Kajang dan kemelut banjir di Sungai Beranang.

“Saya akan bawakan aduan ini kepada mesyuarat menteri supaya menteri kesihatan boleh mengambil perhatian mengenainya,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, parti itu akan mengumumkan calonnya pada 14 Februari ini, pada jam 4.00 petang.

“Saya atau Dr Mahathir akan membuat pengumuman calon kita (PPBM),” katanya.

Apabila ditanya sama ada kerjasama antara PAS dengan Umno akan memecahkan undi Melayu pada PRK Semenyih, Muhyiddin berkata, beliau tidak pasti sama ada sokongan kepada kedua-dua parti itu masih kuat.

Jelasnya, kerjasama kedua-dua parti itu nampak berjaya pada PRK di Cameron Highlands, tetapi Semenyih tidak sama.

Bagaimanapun, beliau berkata, PPBM tidak akan mengambil mudah akan kerjasama tersebut dan sentiasa mencari strategi untuk menghadapinya.

“Saya tahu tidak semua ahli PAS bersetuju dengan kerjasama itu. Apa pun kita lihat sahaja nanti,” tegasnya.

PRK DUN Semenyih diadakan selepas kematian penyandang, Bakhtiar Mohd Nor, 57, yang mewakili PPBM-PH kerana serangan jantung di Hospital Kajang pada 11 Januari lepas .

Pada pilihan raya umum ke-14, Bakhtiar menewaskan penyandang kerusi itu, Datuk Johan Abdul Aziz (BN), Mad Shahmiour Mad Kasim (PAS) dan S Arutchelvan (PSM).

Bakhtiar mendapat 23,428 undi berbanding Johan (14,454) dan calon PAS (6,966).

PAS mengisytiharkan tidak bertanding dalam PRK kali ini.