Tak beri kerjasama, PKR Pahang kaji majlis pengurusan komuniti kampung

KUANTAN: PKR Pahang akan mewujudkan jawatankuasa petugas bagi mengkaji semula kedudukan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang dilihat kurang memberi kerjasama kepada pimpinan Pakatan Harapan di negeri itu.

Pengerusi PKR Pahang, Fuziah Salleh berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat majlis pimpinan negeri hari ini bagi memberi impak yang lebih terhadap penyampaian kerajaan pusat di negeri itu.

“Kita dapati MPKK di Pahang yang dilantik Barisan Nasional (BN) tidak mengamalkan perkongsian saksama.

“Kita banyak terima laporan tentang perkara ini dari peringkat akar umbi dan paling ketara ia berlaku semasa pilihan raya kecil Cameron Highlands baru-baru ini apabila pengerusi MPKK enggan memberikan kunci Dewan Veteran ATM untuk digunakan oleh kita.

“Jadi ini melambangkan demokrasi tidak matang dan jelas menunjukkan pimpinan kerajaan negeri belum lagi mampu untuk memikul amanah yang melambangkan demokrasi matang. Jadi kita akan minta kaji semula (MPKK) dan akan ada usul khas daripada kami,” katanya.

Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata demikian ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Kuantan hari ini.

Menurutnya dapatan kajian jawatankuasa bertindak itu akan diserah kepada Majlis Presiden PKR pada bulan depan untuk tindakan lanjut termasuk mencari mekanisme terbaik bagi mengatasi masalah itu.

Fuziah berkata sebelum ini telah berjumpa dengan menteri besar Pahang bagi membincangkan komposisi pelantikan MPKK dilakukan mengikut kawasan yang dimenangi semasa PRU-14.

Bagaimanapun katanya, lantikan diadakan senyap-senyap diikuti majlis angkat sumpah bulan lepas.