Atlet taraf dunia sifat menteri sokong larian solo perlu dana besar berat sebelah

Soh Wai Ching mengibarkan Jalur Gemilang selepas mendapat tempat ke-4 dalam acara ‘tower running’ di Rusia tahun lepas.

PETALING JAYA: Seorang atlet yang mewakili negara di peringkat dunia kecewa dengan sokongan diberikan menteri Kabinet kepada pelari wanita yang mencari dana sebanyak RM4 juta untuk melengkapkan acara Jelajah Kemanusiaan menakluk 30 menara tertinggi dunia.

Soh Wai Ching, 25, atlet yang berada di kedudukan ke-5 dunia dan pertama di Asia berdasarkan ranking Tower Running World Association (TWA) berpendapat sokongan diberikan menteri Kabinet itu sebagai berat sebelah.

Acara “tower running” atau larian menara menghendaki peserta mendaki anak tangga dari bawah ke puncak sesebuah menara. Mata kemenangan dikira berdasarkan masa yng diambil oleh pelari untuk sampai ke puncak menara berkenaan.

“Kenapa perlu sokong projek kemanusiaan untuk mempromosikan Malaysia di mata dunia sedangkan saya sendiri lakukan perkara sama dan lebih mempunyai kelayakan untuk berbuat demikian?

“Kenapa hendak sokong pelari wanita berkenaan, adakah disebabkan dia bekas anggota tentera, mempunyai hubungan erat dan mendapat sokongan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

“Kenapa tidak sokong atlet yang sememangnya mewakili negara? Kasihanilah atlet seperti saya yang tidak mendapat sokongan dari mana-mana pihak untuk berlatih, bahkan semuanya perlu mencari wang sendiri,” katanya kepada FMT.

Terdahulu media melaporkan pelari solo negara Mej (K), Dr Suwaibah Muhammad Nasir berkata, beliau memerlukan dana kira-kira AS$1 juta (RM4 juta) bagi melengkapkan siri Jelajah Kemanusiaan Menakluk 30 Menara Tertinggi Dunia.

Dr Suwaibah berkata, dana itu diperlukan bagi menampung kos yang tinggi termasuk penginapan, tiket kapal terbang, permohonan visa serta perkara berkaitan bagi melengkapkan misi tersebut.

Pada satu majlis memperkenalkan Dr Suwaibah, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, yang merasmikan acara berkenaan telah menyerahkan Jalur Gemilang kepada beliau selaku penaung misi keamanan.

Wai Ching berkata, dana sebanyak RM4 juta yang diperlukan Dr Suwaibah itu juga dilihat sebagai “mengarut” memandangkan beliau hanya memerlukan dana jauh lebih rendah, iaitu kira-kira RM80 ribu sepanjang tahun 2019.

“Saya hanya minta RM80 ribu sahaja untuk sertai pertandingan sepanjang tahun ini, jauh lebih rendah. Tetapi dia pula dapat sokongan menteri pertahanan, saya rasa tidak adil,” katanya.

Mengulas mengenai sokongan diberikan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kepadanya, Wai Ching berkata, beliau masih menunggu surat pengiktirafan sebagai atlet kebangsaan yang dijanjikan kementerian kepadanya.

Bahkan katanya, hasrat mengadakan pertemuan 4 mata dengan Menteri KBS, Syed Saddiq Abdul Rahman untuk membincangkan dan mencari penyelesaian masalah yang dihadapinya sebagai seorang atlet masih belum berjaya.

“Saya ada jumpa pegawai khas kepada timbalan menteri belia dan sukan pada 27 Disember tahun lalu, sudah sebulan lebih, dan KBS kata akan sokong dengan mengiktiraf saya sebagai atlet kebangsaan.

“KBS juga memberitahu akan keluarkan surat perakuan yang membolehkan mana-mana syarikat yang memberikan tajaan kepada saya dikecualikan daripada cukai. Disebabkan masih belum dapat surat itu, maka susah bagi saya hendak dapatkan tajaan,” katanya.

Pada Oktober tahun lalu, Wai Ching dalam satu wawancara dengan FMT menyuarakan rasa hairan beliau mengapa kerajaan boleh menumpukan perhatian kepada sukan tertentu dan memberi dana besar bagi membangunkan “e-sport”, tetapi langsung tidak menghiraukan sukan seperti yang diceburinya yang hanya memerlukan dana kecil.

“Saya rasa tidak berapa adil. Sukan seperti yang saya (ceburi), yang tidak ada dalam Sukan SEA, Asean atau di peringkat Olimpik tidak diberikan perhatian oleh KBS. Walau apapun, saya tetap mengibarkan bendera Malaysia.

“Sukan seperti skuasy, walaupun tidak disenaraikan sebagai sukan di peringkat tertinggi, masih mendapat sokongan dan perhatian KBS.

“Jutaan ringgit disalurkan kepada ‘e-sport’ dan beberapa sukan lain seperti bola sepak, namun sukan seperti saya ini tidak perlukan wang banyak. Saya hanya perlukan sekitar RM5,000 untuk tiket penerbangan dan penginapan sahaja bagi menyertai satu-satu acara larian yang dianjurkan” katanya.