Guna istilah ‘kleptokrasi’, peguam berbeza pandangan

Najib Razak berdepan pelbagai tuduhan berkaitan skandal 1MDB.

PETALING JAYA: Dua peguam terkenal berbeza pandangan mengenai penggunaan istilah “kleptokrasi” oleh Jabatan Peguam Negara ketika merujuk kepada pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, menjelang perbicaran bekas perdana menteri itu minggu depan.

Perkembangan ini menyusuli kritikan terhadap Peguam Cara Negara III Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria berhubung pekeliling dalaman yang tular di media sosial.

Dalam surat itu, Hanafiah menggesa timbalan pendakwaraya untuk membantah sekeras-kerasnya sebarang permohonan menangguhkan perbicaraan kes-kes berkaitan kerajaan “kleptokrasi” dulu, menggunakan istilah yang digunakan oleh peguam negara Amerika Syarikat ketika merujuk kepada rampasan aset berkaitan 1MDB oleh Jabatan Kehakiman AS.

Istilah itu kemudian dipopularkan oleh ahli politik Pakatan Harapan sebelum pilihan raya umum tahun lepas.

Hanafiah mempertahankan sraut tersebut, mengatakan tidak salah disisi undang-undang untuk meminta kes-kes berkaitan kerajaan dulu berjalan mengikut jadual.

Surat itu bagaimanapun mengundang kritikan daripada MCA yang mempersoalkan kebebasan Jabatan Peguam Negara.

Peguam Siti Kasim berkata parti pembangkang hanya mengacau.

Beliau berkata Jabatan Peguam Negara meyakini seseorang itu melakukan kesalahan sebelum membawa pertuduhan terhadap orang itu adalah tidak salah.

“Pada asasnya jabatan itu berat sebelah dalam menjalankan peranannya,” kata peguam hak asasi itu kepada FMT.

“Jadi untuk menggelar kerajaan dulu ‘kleptokrasi’ adalah dalam peranannya juga, dengan mengambil kira betapa banyak pertuduhan terhadap anggota-anggota kerajaan lepas, termasuk kepimpinan tertinggi.”

Peguam jenayah, SN Nair bagaimanapun tidak bersetuju.

Walaupun Hanafiah tidak salah meminta perbicaraan-perbicaraan rasuah itu berjalan mengikut jadual, istilah “kleptokrasi” itu mempunyai konotasi politik.

“Ia digunakan oleh pembangkang sebelum pilihan raya umum tahun lepas,” katanya kepada FMT.

Walaupun perkataan itu boleh digunakan di kebanyakan negara, ia tidak semudah itu di Malaysia kerana konteks politik tempatan.

“Jabatan sepatutnya berhati-hati dan tidak menggunakan perkataan itu. Ia hanya memberikan gambaran negatif yang ia berat sebelah, menyebabkan kebebasan jabatan dipersoalkan.”

Nair berkata penggunaan perkataan itu sangat boleh diterima dalam perbicaraan tetapi bukan di peringkat pentadbiran jabatan.

Sementara itu, peguam perlembagaan Nizam Bashir faham keraguan tentang penggunaan istilah “kleptokrasi” oleh pendakwaraya.

“Ia sekadar mencerminkan kesungguhan pihak pendakwa menangani kes itu,” katanya.

“Kepentingan negara lebih terjaga dengan memastikan tumpuan tertumpu kepada perbicaran tanpa gangguan-gangguan seperti itu.”

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata penggunaan istilah “kleptokrasi” oleh jabatan menunjukkan pihak pendakwa “yakin dan bersedia”.

“Apabila ia menjalankan atau memulakan pendakwaan, ia memiliki semua keterangan-keterangan yang relevan, sama ada dalam bentuk dokumen atau saksi,” katanya.