Iran tunggu Lubnan ‘hasratkan’ bantuan ketenteraan

(Reuters pic)

BEIRUT: Iran menunggu Lubnan menunjukkan hasrat ia akan menerima bantuan ketenteraan, kata menteri luar negeri Iran hari ini, mengulangi tawarannya untuk membantu tentera negara itu yang disokong Amerika Syarikat.

Mohammad Javad Zarif bercakap kepada pemberita di lapangan terbang Beirut dalam rangka lawatan pertamanya ke Lubnan sejak terbentuknya kerajaan baru bulan lepas. Kerajaan Iran menyokong kumpulan syiah yang terkuat di Lubnan, Hezbollah.

Pemimpin Hezbollah, Sayyed Hassan Nasrallah minggu lepas berkata dia sedia mendapatkan sistem pertahanan udara daripada Iran untuk askar Lubnan bagi menghadapi pesawat Israel, dan mendapatkan “apa sahaja yang ia perlukan untuk menjadi tentera terkuat di rantau itu”.

Ditanya adakah Iran sedia menawarkan bantuan ketenteraan, Zarif berkata: “Kami sentiasa bersedia dan kami pernah beberapa kali umumkan kecenderungan itu di Iran tetapi kami menunggu pihak Lubnan menyatakan hasrat.”

Amerika Syarikat, yang menyenaraikan Hezbollah sebagai kumpulan pengganas, berkata bantuan ketenteraanya bertujuan menguatkan askar Lubnan sebagai satu-satunya angkatan tentera yang mempertahankan negara itu dan menangkis ancaman Syria.

Kerajaan perpaduan Lubnan yang baru diketuai Perdana Menteri Saad al-Hariri yang disokong negara Barat dan jemaah menterinya merangkumi kumpulan-kumpulan politik utama di negara itu, termasuk Hezbollah.

Kerajaan terbaru Hariri mencerminkan keputusan pilihan raya tahun lepas, di mana Hezbollah dan kumpulan yang menyokongnya memperoleh 70 daripada 128 kerusi di Parlimen.