KBS mahu Le Tour de Langkawi kembali gemilang

Menteri KBS, Syed Sadiq Abdul Rahman berharap LTdL dapat dikembalikan ke zaman kegemilangannya.

HULU LANGAT: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini menyuarakan hasrat untuk melihat acara perlumbaan basikal Le Tour De Langkawi (LTdL) kembali gemilang.

Menteri KBS, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, penganjuran semula LTdL sudah dibincangkan dan diputuskan oleh kementerian.

Jelasnya, penganjuran sukan lumba basikal bertaraf antarabangsa itu akan berlangsung pada tahun ini bersama-sama dengan penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA ‘19) yang akan berlangsung di Langkawi, Mac ini.

“Pihak persatuan (basikal) dan KBS nak pastikam ia (LTdL) dapat dijalankan dengan baik kerana ada 2 acara penting di peringkat antarabangsa akan diadakan.

“Saya nak pastikan rangkaian media juga dapat laporkan sebaik mungkin supaya statusnya dikembalikan seperti zaman kegemilangannya,” katanya pada satu sidang media di Beranang, hari ini.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, negara akan bekerjasama dengan media antarabangsa untuk menyiarkan acara besar-besaran itu.

Hal ini katanya, adalah kerana LTdL menjadi tersohor kerana mendapat liputan media yang meluas ke seluruh dunia.

“Bukan sahaja untuk media Eropah, tetapi penekanan khusus akan diberi kepada penyiaran di Asia.

“Jadi (KBS) akan berkolaborasi dengan Al Jazeera dan beberapa saluran berita lain. Apabila siaran yang luas di Asia, dengan paparan luar biasa di Asean dan berikan impak terbaik,” katanya.

Bagaimanapun, Syed Saddiq berkata, tarikh berlangsungnya acara itu masih belum ditetapkan.

“Kita baru sahaja selesai meneliti (finalise), tarikh itu yang penting.

“Apabila dah tahu tarikh akan menjadi lebih mudah untuk kita bergerak, terutamanya ketika ingin bekerjasama antara satu sama lain,” jelasnya.

LTdL merupakan perlumbaan basikal pelbagai peringkat yang diadakan secara tahunan sejak 1996. Ia ditauliahkan oleh Kesatuan Lumba Basikal Dunia (UCI) dan dimasukkan ke dalam kalendar Jelajah Asia badan itu.

Ia merupakan idea Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bagi menempatkan Malaysia dalam kalendar sukan dan pelacongan dunia, dan merupakan acara sukan berbasikal yang menjanjikan hadiah paling lumayan di Asia.

Pameran LIMA yang kini memasuki edisi ke-15 sejak diperkenalkan pada 1991, akan berlangsung selama 5 hari bermula 26 hingga 30 Mac depan.

Pameran terbesar maritim dan aeroangkasa di Asia Pasifik itu akan diadakan di Pusat Pameran Antarabangsa Langkawi (MIEC) dan Resort World Langkawi dengan tema ‘Defence and Commercial Connecting Intelligence’.