Minta RM4 juta, pelari solo disokong menteri janji bukan untuk tujuan peribadi

Suwaibah Nasir (kiri) menerima Jalur Gemilang daripada Menteri Pertahanan Mohamad Sabu di majlis memperkenalkan pelari solo wanita itu pada 7 Februari lepas. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pelari solo Mejar (Kehormat) Dr Suwaibah Muhammad Nasir berjanji dana RM4 juta dalam misi menawan 30 menara tertinggi dunia tidak akan digunakan untuk tujuan peribadi, ketika sokongan kerajaan kepadanya dipertikaikan seorang atlet bertaraf dunia.

Dr Suwaibah berkata sokongan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu itu bukan perkara luar biasa kerana dia adalah ikon pembangunan sukan tentera udara.

Beliau menambah dana itu bukan sahaja untuk membiayai misi berlari ke puncak menara tetapi juga untuk kem pelarian dan rumah kebajikan di setiap negara yang bakal dilawati.

“Bukannya saya hendak masukkan ke dalam poket atau kocek saya. Saya sudah puas melancong ke luar negara,” katanya kepada FMT.

“Dulu saya ke luar negara untuk sertai pertandingan, kini setelah dinobatkan oleh World Peace Community sebagai duta keamanan dunia, jadi tanggungjawab saya untuk pikul perkara ini setelah diberi kepercayaan.”

Menurut Dr Suwaibah, perjalanan menjelajah 30 negara itu akan diiringi 10 pengiring termasuk anggota tentera udara yang diberi pelepasan.

Terdahulu, Soh Wai Ching, 25, yang berada di kedudukan ke-5 dunia dan pertama di Asia berdasarkan ranking Persatuan Larian Merana Dunia (TWA) berpendapat sokongan menteri kepada Suwaibah “berat sebelah” kerana dia juga melakukan perkara yang sama dan lebih mempunyai kelayakan.

Soh tertanya mengapa seorang atlet sepertinya tidak mendapat sokongan kerajaan, dan berkata dia hanya perlukan RM80,000 untuk sertai pertandingan larian menara sepanjang 2019.

“Tetapi dia pula dapat sokongan menteri pertahanan, saya rasa tidak adil,” katanya kepada FMT.

Dr Suwaibah bagaimanapun faham perasaan Soh, tetapi menjelaskan misinya dengan apa yang dilakukan atlet itu. “Saya bukan berlari atau mendaki sahaja.”

Mengenai kemampuan sukannya, Dr Suwaibah berkata dia juga pernah menang dalam larian di Menara Kuala Lumpur pada 1998 dan dihantar Telekom Malaysia ke Amerika Syarikat untuk mendaki bangunan Empire State pada 1999.

Mengenai statusnya sebagai ikon pembangunan sukan tentera udara, Dr Suwaibah berkata dia dilantik pada November 2017.

“Dahulu saya sertai sukan untuk kepuasan tetapi sekarang ini, saya terlibat dalam misi kemanusiaan,” katanya.

Tak minta dana menteri

Terdahulu, media melaporkan Dr Suwaibah memerlukan dana kira-kira RM4 juta bagi melengkapkan Jelajah Kemanusiaan Menakluk 30 Menara Tertinggi Dunia, termasuk penginapan, tiket kapal terbang dan permohonan visa.

Mohamad Sabu adalah penaung misi itu, dan penasihatnya adalah Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Datuk Rozlan Mohamad. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah penaung kehormat.

Bagi mengelakkan sebarang salah faham dalam kalangan masyarakat, pasukan Dr Suwaibah memaklumkan mereka tidak minta dana daripada menteri tetapi mencari sumbangan badan-badan korporat untuk menaja misi itu.

FMT difahamkan sokongan menteri hanya atas dasar menaungi misi kemanusiaan.

Pada 2012, Suwaibah menyertai larian amal sejauh 1,111km merentasi gurun Sahara di Mesir dalam misi kemanusiaan membantah sekatan bekalan air bersih di Palestin sambil mengumpul dana untuk Majlis Kanser Nasional (Makna).