Pope Francis rayu kerajaan serata dunia banteras perdagangan manusia

(Gambar Reuters)

VATICAN CITY: Pope Francis hari ini menggesa kerajaan serata dunia mengambil tindakan tegas terhadap penderitaan jutaan hamba zaman moden dan perniagaan perdagangan manusia yang dianggarkan bernilai AS$150 bilion setahun.

Beliau berucap kepada puluhan ribu manusia di Dataran St Peter 2 hari selepas Gereja Roman Katolik mengadakan hari berdoa dan kesedaran terhadap perdagangan manusia.

“Saya merayu, terutamanya kepada kerajaan-kerajaan, supaya punca bencana itu ditangani dengan tegas dan mangsa-mangsanya dilindungi,” kata paderi itu.

Dianggarkan 45.8 juta rakyat hidup dalam beberapa bentuk perhambaan serata dunia, menurut Indeks Perhambaaan Sejagat 2016 oleh kumpulan hak asasi manusia, Yayasan Walk Free.

Penghijrahan menjadi isu penting dan paling dipolitikkan di Eropah, walaupun jumlah pemohon suaka berkurangan sejak 2015, ketika ia mencecah lebih 1 juta orang.

Ramai pendatang tiba melalui penyeludup, dalam keadaan yang sangat teruk dan selepas membayar sejumlah wang yang banyak.

“Kita semua boleh dan mesti melakukan lebih banyak lagi dan membantu usaha itu dengan melaporkan kes-kes exploitasi dan perhambaan lelaki, wanita dan kanak-kanak,” kata pope.

Pada 8 Februari lepas, ketika Gereja Roman Katolik mengadakan hari kesedarannya, ialah hari memperingati Saint Josephine Bakhita, yang lahir di Sudan pada 1869 dan dijual sebagai hamba oleh penculiknya.

Selepas dia peroleh kebebasan, dia menjadi rahib di utara Itali, di mana dia meninggal dunia pada 1947.