2 ‘Datuk’ dalam syarikat RM2 didakwa dapat konsesi Jabatan Perhutanan Perak

Thomas Su mempersoalkan bagaimana sebuah syarikat bermodalkan RM2 diberikan konsesi selama 50 tahun untuk membangunkan tanah seluas 400 hektar di Hutan Simpan Kledang Saiong dan Hutan Simpan Bukit Kinta. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Dua lelaki bergelar “Datuk” yang merupakan pengarah sebuah syarikat RM2 didakwa mendapat satu projek membangunkan 2 hutan simpan seluas 400 hektar di Perak.

Pendedahan itu susulan semakan FMT ke atas dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), selepas seorang ahli Parlimen DAP membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su memberitahu FMT, kerajaan negeri sepatutnya menjelaskan kandungan surat itu yang tersebar baru-baru ini.

Katanya, berdasarkan surat itu, syarikat terbabit diberikan konsesi oleh Jawatankuasa Sumber Hasil Hutan Perak, Disember lalu.

Beliau berkata, syarikat itu ditubuhkan 5 bulan lalu dengan modal terbayar RM2, selepas pilihan raya umum ke-14.

Syarikat itu didakwa mendapat konsesi untuk membangunkan tanah seluas 400 hektar bagi tujuan penanaman di Hutan Simpan Kledang Saiong dan Hutan Simpan Bukit Kinta.

Thomas Su.

“Bagaimana syarikat RM2 ini boleh mendapat konsesi selama 50 tahun ini?” soalnya sambil menambah surat itu tidak mempunyai butiran syarikat terbabit dibenarkan membuat apa dalam projek pembangunan itu.

“Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) ditanya mengenai perkara ini dan katanya beliau memerlukan masa untuk mengesahkannya, itu sebabnya saya mahu SPRM siasat.”

Bernama memetik Faizal sebagai berkata, beliau perlu menyemak kesahihan surat itu yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan Perak.

FMT sedang menunggu maklum balas Faizal berhubung perkara itu.

Su berkata, sebelum membuat laporan kepada SPRM, seorang pegawainya cuba mendapatkan jawapan daripada Jabatan Perhutanan Perak, tetapi gagal.

Difahamkan, syarikat itu ditubuhkan 26 Julai 2018 di Kuala Lumpur, walaupun alamat perniagaannya di Taiping.

Menurut dokumen SSM, bentuk perniagaan syarikat itu ialah “menanam pokok, broker dan peniaga komoditi, serta memborong pelbagai barang tanpa sebarang pengkhususan.”

Sebelum ini, sebuah badan bukan kerajaan alam sekitar menyuarakan kebimbangan terhadap aktiviti pembersihan tanah mencurigakan di Hutan Simpan Kledang Saiong.

Ia kemudiannya dilaporkan pembersihan tanah itu adalah haram, walaupun dijalankan di tanah milik Perbadanan Menteri Besar. Bagaimanapun, tanah itu dilaporkan tidak terletak dalam kawasan hutan simpan.

Sumber memberitahu FMT, seorang exco daripada sebuah parti dalam Pakatan Harapan didakwa terbabit dalam perjanjian menawarkan konsesi itu kepada syarikat terbabit.