3 tuduhan pengubahan wang terhadap Najib dipindah ke Mahkamah Tinggi

Bekas perdana menteri Najib Razak minta dibicarakan terhadap semua pertuduhan yang dihadapi beliau berkait SRC International.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan pendakwa raya memindahkan 3 lagi pertuduhan pengubahan wang terhadap bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, melibatkan SRC International di Mahkamah Sesyen minggu lepas.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang dijadualkan mendengar 7 lagi pertuduhan berkaitan SRC International terhadap Najib, membenarkan permohonan yang dibuat oleh Peguam Negara, Tommy Thomas, yang hadir di mahkamah hari ini.

3 kes terbabit akan dipindahkan ke dalam daftar Mahkamah Tinggi.

FMT difahamkan bahawa pendakwa akan membuat satu lagi permohonan bagi membolehkan 3 pertuduhan tambahan itu didengar bersekali dengan 7 pertuduhan lain kerana ia merupakan perkara sama.

Thomas meminta Nazlan menimbangkan permohonan supaya kesemua kes dibicarakan bersekali – 4 kes berlainan melibatkan 10 pertuduhan – dan mengetepikan keperluan mengadakan prosiding berlainan di Mahkamah Sesyen.

“Kes tersebut berkongsi fakta yang saling berkaitan. Matlamat keadilan tidak akan tercapai sekiranya prosiding berlainan dijalankan di mahkamah berlainan dengan hierarki berbeza,” katanya.

Jumaat lepas, Najib meminta dibicarakan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen, Azman Ahmad, terhadap 3 pertuduhan pengubahan wang berjumlah RM42 juta.

Beliau dituduh terlibat dalam pengubahan wang menerusi 3 akaun AmPrivate Banking miliknya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Bhd di Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014 di bawah Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Tahun lepas, Najib meminta dibicarakan terhadap 3 pertuduhan pengubahan wang, 3 pecah amanah jenayah dan 1 salah guna kuasa dalam pemindahan wang sebanyak RM42 juta ke akuan beliau dari SRC International.

Najib, 66, juga berhadapan 32 pertuduhan lain berkaitan dana pelaburan kerajaan, 1MDB.