5 terbunuh dalam pertempuran di selatan Kashmir

Kashmir, sebuah rantau di Himalaya yang penduduk majoritinya beragama Islam, dikuasai India dan Pakistan di beberapa bahagian. (Gambar AFP)

SRINAGAR: 5 anggota militan terbunuh dalam satu pertempuran dengan pasukan bersenjata India di selatan Kashmir pada Isnin, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan polis.

“Berdasarkan maklumat yang boleh dipercayai berkaitan kehadiran pengganas di kawasan Kellam di Devsar dalam daerah Kulgam, satu operasi mengepung dan mencari dilancarkan.

“Dalam pertembungan yang berlaku selepas itu, 5 anggota militan terbunuh dan mayat mereka dibawa keluar dari kawasan pertempuran,” menurut kenyataan itu.

Kesemua militan yang terbunuh dikenal pasti sebagai penduduk tempatan Kashmir.

Dalam insiden berasingan, beberapa orang termasuk 7 anggota pasukan bersenjata India, cedera dalam satu letupan bom tangan di bandar Srinagar.

“4 anggota polis, 3 anggota separa tentera dan 4 orang awam cedera dalam serangan bom tangan itu,” kata polis.

Kashmir, sebuah rantau di Himalaya yang penduduk majoritinya beragama Islam, dikuasai India dan Pakistan di beberapa bahagian dengan kedua-dua negara menuntut hak penuh ke atasnya.

Sebahagian kecil Kashmir turut dikuasai China.

Sejak berpecah pada 1947, India dan Pakistan telah 3 kali terjerumus dalam kancah peperangan iaitu pada 1948, 1965 dan 1971 – 2 daripadanya kerana berebutkan Kashmir.