Ahli Parlimen Julau, ahli keluarga tahanan akan ke Kemboja

Larry Sng Wei Shien mengetuai Misi Menyelamat serta membawa pulang tahanan rakyat Malaysia di Kemboja. (Gambar Bernama)

KUCHING: Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dijadual berlepas ke Kemboja pada Rabu ini bersama delegasi media serta ahli keluarga tahanan rakyat Malaysia di negara itu bagi meninjau situasi sebenar dan melihat keadaan mereka di sana.

Larry Sng dalam kenyataannya semalam berkata, pejabat Kedutaan Malaysia di Kemboja berjaya mengatur lawatan delegasi tersebut ke penjara Banteay Meanchey.

“Saya baru sahaja dimaklumkan pihak AirAsia juga akan turut serta dalam Misi Menyelamat serta membawa pulang tahanan rakyat Malaysia dengan membiayai kos membawa pulang ke tanah air.

“Saya berasa amat berbangga kerana banyak pihak yang tampil menghulurkan pelbagai bentuk bantuan tanpa mengira latar belakang kaum, agama mahupun fahaman politik,” katanya.

Pada Khamis lalu, Kementerian Luar mengesahkan laporan penahanan 47 rakyat Malaysia di Poi Pet, Kemboja sejak 11 Disember lalu atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.

Mereka dikatakan ditahan di negara tersebut setelah terpesona dengan janji gaji lumayan yang dipercayai didalangi sindiket pemerdagangan manusia dari China.

Sebahagian besar rakyat Malaysia yang ditahan itu dikatakan berasal dari Sarawak.