Bekas MB letak jawatan ketua pembangkang Terengganu

Umno Terengganu menerima surat peletakan jawatan Ahmad Razif Abdul Rahman (tengah) pada 4 Februari lalu. (Gambar Bernama)

KUALA TERENGGANU: Adun Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman meletak jawatan sebagai ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

Timbalan Pengerusi Umno negeri, Datuk Din Adam mengesahkan Umno Terengganu menerima surat peletakan jawatan itu daripada Razif 4 Februari lalu.

“Sehubungan itu, kita mohon DUN Terengganu membuat surat kepada Umno Negeri bagi mencadangkan nama baru ketua pembangkang.

“Di pihak Umno Terengganu buat masa ini belum mengadakan sebarang mesyuarat bagi memutuskan siapa yang akan memegang jawatan itu…siapa yang akan ganti akan diputuskan Pengerusi Umno Terengganu, iaitu Datuk Seri Ahmad Said,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Media Terengganu hari ini menerima kiriman WhatsApp yang butirannya menyebut Razif yang juga bekas menteri besar meletak jawatan melalui surat kepada Yang Dipertua DUN, Yahaya Ali bertarikh 4 Februari lalu.

Yahaya ketika dihubungi Bernama berkata, beliau belum menerima surat itu kerana sedang bercuti.

Razif dan Ahmad gagal dihubungi bagi mengesahkan perkara tersebut.