Harga buah durian tetap mahal walaupun mudah didapati di mana-mana sepanjang musim. Ini menunjukkan raja buah itu terus mendapat permintaan yang tingi bukan sahaja untuk dimakan sebagai buah tetapi digunakan dalam pelbagai jenis makanan termasuk cucur durian, tempoyak, bubur dan cendol.

Baru-baru ini tular di media sosial apabila seorang pengguna berkongsi sekeping gambar menunjukkan resit pembelian bagi 3 mangkuk cendol durian Musing King dengan tertera harga RM114.

Menurut Kosmo, pemilik kedai cendol di Melaka, Muhammad Ariff Qayyum Mohd. Zamri, 25, berkata, harga itu adalah munasabah bagi mereka yang arif tentang jenis dan kualiti isi durian Musang King.

Katanya, cendol Musang King dijual mengikut berat isi durian antara 120 gram sehingga 150 gram setiap hidangan.

“Malah, sejak memulakan perniagaan pada 2017, pihak kami memaparkan senarai harga bagi setiap menu cendol yang dijual antaranya Cendol Musang King (RM38), Durian Udang Merah (RM20), Durian D24 (RM20), Durian Kahwin (RM17) dan cendol biasa RM7.

“Bagi penggemar durian, mereka sudah pasti mengetahui harga yang ditetapkan itu adalah munasabah, cuma saya bimbang kritikan ini dilemparkan oleh penggemar cendol yang tidak arif dengan harga durian,” katanya.

Pemeriksaan harga di premis cendol oleh Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Jaiya Abu mendapati pihaknya berpuas hati dengan syarat dan kaedah jualan yang dilaksanakan.

“Petang tadi sepasukan anggota penguatkuasa membuat pemeriksaan harga di premis berkenaan dan mendapati pemilik tidak melanggar apa-apa syarat perniagaan termasuk tanda harga serta produk jualan,” kata Jaiya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]