Guan Eng ugut saman media pro-BN pertikai kelayakan akademiknya

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng (dari kiri) bersama Tony Pua dan Adun Pandamaran, Leong Tuck Chee menunjukkan salinan sijil keahlian Persatuan Akauntan Australia milik Lim Guan Eng dalam sidang media hari ini.

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap media pro-Barisan Nasional (BN) yang mempersoalkan kelayakan akademiknya, kata setiausaha politiknya, Tony Pua.

“Beliau mempunyai hak memfailkan saman fitnah terhadap mana-mana akhbar pro-BN yang terus menyiarkan penipuan untuk memperkecil atau mempertikaikan jawatan, kemampuan dan kredibilitinya,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat DAP hari ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

“Saya diarahkan tidak menjawab soalan mengenai isu ini seperti dinasihatkan peguam Lim kerana perkara ini mungkin dibawa ke mahkamah dan mereka tidak mahu saya silap cakap dalam sidang media.

“Jadi, saya diminta kekal kepada kenyataan itu – ini yang kami mahu tekankan hari ini.”

Baru-baru ini, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mempersoalkan kelayakan akademik Lim. Setiausaha agung DAP itu ialah pemimpin Pakatan Harapan terbaru yang latar belakang pendidikannya dipertikaikan selepas Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dan Adun Tronoh, Paul Yong Choo Kiong.

Wee dipetik The Star sebagai berkata, laman web peribadi Lim menyatakan beliau menjadi akauntan profesional pada 1983.

Bagaimanapun, katanya, laman web Universiti Monash menunjukkan Lim mendapat ijazah Sarjana Muda Ekonomi pada 1984.

Ini kerana, kata Pua, tahun kalender akademik Australia berakhir pada November, sebelum cuti musim panas.

“Menjelang akhir 1983, Lim menduduki dan lulus semua ujian diperlukan untuk mendapat ijazahnya dan kelayakan sebagai seorang akauntan.”

Beliau berkata, Lim mendapat sijil keahlian Persatuan Akauntan Australia 3 bulan selepas lulus ujiannya pada 21 Februari 1984.

“(Beliau mendapat) keahliannya sebelum menerima ijazah pada 11 April 1984.”

Pua sebaliknya menggesa Wee berterus-terang jika MCA pernah menerima jutaan ringgit dana 1MDB daripada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Adakah akhbar pro-BN akan minta Wee berterus-terang? Tolong jangan cuba alih perhatian rakyat Malaysia daripada semua isu penting skandal 1MDB bernilai RM50 bilion dengan serangan peribadi yang tidak berasas dan semberono terhadap menteri kewangan.”