Henti buat kenyataan palsu atau kami akan saman, Malaysia Airports beritahu AirAsia 

Malaysia Airports memberi amaran akan mengambil tindakan lanjut jika AirAsia terus membuat kenyataan palsu, tidak tepat dan mengelirukan mengenainya. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd dan Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (dirujuk sebagai Malaysia Airports) secara bersama mengeluarkan serta menyerahkan surat tuntutan kepada AirAsia Bhd, AirAsia X Bhd dan ketua pegawai esekutif masing-masing, Riad Asmat dan Benyamin Ismail berhubung penerbitan beberapa artikel yang didakwa tidak tepat serta mengelirukan di portal dalam talian AirAsia, iaitu AirAsia Newsroom.

Menerusi surat itu, Malaysia Airports menuntut AirAsia menarik balik semua artikel tersebut serta-merta dan tidak lagi membuat sebarang kenyataan palsu, tidak tepat dan mengelirukan demi memastikan kepentingan Malaysia Airports terus dilindungi.

“Walaupun Malaysia Airports tidak menganggap tindakan AirAsia memaklumkan pemegang saham berhubung perkembangan dan status tindakan mahkamah mengikut undang-undang itu sebagai satu isu, namun AirAsia sebaliknya bertindak melangkaui batasan dengan menyiarkan kenyataan palsu, tidak tepat dan mengelirukan dalam media yang bertujuan menjejaskan reputasi Malaysia Airports,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malaysia Airports turut menegaskan ia terus berpegang kepada pendirian semua pertikaian dan perkara berkaitan sudah diserahkan kepada mahkamah bagi tindakan lanjut dan pihak terbabit sewajarnya membiarkan mahkamah memutuskannya.

Sehubungan itu, katanya, AirAsia tidak mempunyai sebarang alasan untuk terus membuat kenyataan yang memperlekehkan Malaysia Airports.

“Malaysia Airports berhak mempertahankan haknya untuk mengambil tindakan lanjut, sekiranya AirAsia masih enggan mematuhi surat tuntutan/atau terus membuat kenyataan palsu, tidak tepat serta mengelirukan mengenai Malaysia Airports.”