Henti ugut kami, AirAsia beritahu MAHB

AirAsia mempertahankan semua artikel disiarkan di AirAsia Newsroom dan menyifatkan ugutan tindakan undang-undang oleh MAHB adalah tidak wajar. (Gambar fail)

PETALING JAYA: AirAsia membalas amaran Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dengan berkata, pengendali lapangan terbang itu menggunakan kedudukan dominannya untuk mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadapnya dan menyekat “kenyataan adil”.

Maklum balas itu susulan amaran MAHB hari ini kepada syarikat penerbangan tambang murah itu untuk menarik balik semua artikel yang didakwa tidak tepat dan mengelirukan di laman webnya serta berhenti membuat kenyataan palsu terhadap pengendali lapangan terbang itu.

Kedua-dua pihak itu terbabit dalam perang mulut selepas MAHB menyaman AirAsia dan AirAsia X Bhd (AAX) berhubung cukai tertunggak, manakala syarikat penerbangan itu membalasnya dengan menyaman MAHB lebih RM400 juta atas kerugian dan kerosakan akibat gangguan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

AirAsia dalam kenyataan hari ini berkata, ia hanya bertindak balas terhadap saman difailkan MAHB berhubung caj perkhidmatan penumpang (PSC).

“Untuk menggalakkan dialog terbuka dan penyelesaian secara damai, kami menawarkan semua isu tertangguh diselesaikan mengikut Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia. Bagaimanapun, MAHB menolaknya.”

AirAsia mempertahankan semua artikel disiarkan di AirAsia Newsroom dan menyifatkan ugutan tindakan undang-undang oleh MAHB adalah tidak wajar.

“Kami akan menggunakan semua saluran untuk mempertahankan diri daripada semua tindakan, sama ada menerusi pengantaraan atau arbitrasi seperti ditetapkan undang-undang atau di mahkamah seperti dikehendaki MAHB.”

Terdahulu, MAHB dan Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd dalam surat tuntutannya mahu AirAsia, AirAsia X dan ketua pegawai esekutif mereka berhenti membuat kenyataan palsu, tidak tepat dan mengelirukan mengenainya.

“Walaupun Malaysia Airports tidak menganggap tindakan AirAsia memaklumkan pemegang saham berhubung perkembangan dan status tindakan mahkamah mengikut undang-undang itu sebagai satu isu, namun AirAsia sebaliknya bertindak melangkaui batasan dengan menyiarkan kenyataan palsu, tidak tepat dan mengelirukan dalam media yang bertujuan menjejaskan reputasi Malaysia Airports.”

Katanya, semua pertikaian antara kedua-dua pihak sudah diserahkan kepada mahkamah bagi tindakan lanjut dan AirAsia tidak mempunyai alasan untuk terus membuat kenyataan memperlekehkan Malaysia Airports.