Inkues Adib: Cermin jentera bomba dipukul tiang net sepak takraw, kata saksi

Pemandu jentera bomba Md Eliza Mohd Noor berkata, pegawai penyelia operasi memberitahu supaya mereka tidak keluar dari kenderaan kerana keadaaan tidak mengizinkan.

SHAH ALAM: Pemandu jentera bomba, Fire Rescue Tender (FRT), yang tiba untuk memadam kebakaran sebuah kereta di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, 27 November lalu memberitahu cermin jentera yang dipandunya dipukul menggunakan objek keras dipercayai tiang besi net sepak takraw.

Md Elliza Mohd Noor, yang merupakan saksi ke-2  inkues ke atas kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, turut memberitahu Mahkamah Koroner yang mengendalikan inkues itu, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian mereka diserang lebih 50 individu dari arah depan kenderaan dan beberapa kali mengundurkan jentera terbabit.

“Apabila sampai di lokasi, saya memberhentikan jentera di tempat yang saya rasakan selamat, lebih kurang 10-15m dari kenderaan terbakar. Saya kemudian mendapati ada pergerakan sekumpulan orang awam lebih 50 orang sambil menjerit ‘jangan padam kebakaran’ tersebut. Mereka kata ‘bomba pergi balik’.

“Saya nampak mereka bawa sebatang objek besi putih bentuk tiang net sepak takraw, tidak sampai 5-10 saat saya mendapati berlakunya ketukan pertama di cermin depan jentera, kemudian disusuli objek seperti batu dan topi keledar menyebabkan cermin jentera retak dan ‘lembik’.

“Selepas cermin pecah, perasaan saya takut, secara spontan saya undur ke belakang,” katanya selepas diminta timbalan pendakwa raya yang juga pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzah menceritakan kejadian pada malam itu.

Elliza turut memaklumkan, pegawai penyelia operasi meminta mereka tidak keluar dari kenderaan kerana keadaan tidak mengizinkan.

“Pegawai penyelia yang berada di sebelah saya beritahu jangan turun dulu,” katanya sambil memaklumkan semasa kejadian, beberapa individu menuju ke belakang jentera dan beliau tidak tahu apakah yang dilakukan mereka.

Dia turut memaklumkan jentera tiba di tempat kejadian kira-kira 1.12 pagi, iaitu lebih kurang 10 minit selepas panggilan diterima.

Elliza berkata, pada waktu itu, 9 anggota bomba diarahkan ke lokasi, termasuk dirinya.

“Saya memandu jentera FRT bersama 6 lagi anggota di dalam jentera, kemudian sebuah lagi kenderaan EMRS (Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan) di belakang yang dinaiki 2 anggota,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Elliza berkata, selepas berjaya membawa jentera FRT keluar daripada kumpulan orang awam itu, beliau terus menuju ke Balai Polis USJ 8.

Sebaik tiba di balai polis, beliau dimaklumkan pemandu van EMRS, Ahmad Shahril Othman yang memberitahu penyelia, Adib tiada dalam kenderaan EMRS.

“Kami cuba hubungi Muhammad Adib beberapa kali, tetapi tidak berangkat.

Elliza berkata, beberapa minit kemudian ada individu menghubungi dan memaklumkan Adib dibawa ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC).

“Selepas 15 ke 20 minit kemudian, ada orang awam yang menggunakan telefon Adib menghubungi kami dan memaklumkan beliau dalam perjalanan ke SJMC.”

Jentera bomba diserang sekumpulan lelaki India

Sementara itu, seorang pegawai polis ketika memberi keterangan memberitahu inkues bahawa jentera bomba FRT mengundur 2 kali sebaik dibaling objek keras oleh sekumpulan lelaki India.

Ketua Bahagian Siasatan Trafik Daerah Subang Jaya, DSP Mohd Nasir Drahman berkata, serangan dilakukan sejurus jentera itu tiba untuk memadamkan kenderaan terbakar.

“Saya nampak ia mengundur kemudian ke depan, mengundur lagi dan kemudian hilang daripada pandangan,” katanya yang juga saksi pertama inkues.

Pada pandangannya, FRT diserang sehingga cermin depan jentera itu pecah.

“Saya dan anggota cuba masuk, tetapi kekuatan anggota tidak mencukupi dan boleh mengancam keselamatan kami,” katanya.

Beliau berkata, terdapat kira-kira 3,000 hingga 5,000 lelaki India muncul di lokasi kejadian pada 1 pagi 27 November lalu.

“Durasi jentera diserang sekitar 10-15 minit sejurus mereka tiba,” katanya ketika menjawab soalan Hamdan.

Nasir turut memaklumkan tidak melihat anggota bomba keluar dari jentera semasa serangan berlaku kerana keadaan gelap.

“Sata tidak nampak anggota bomba keluar dari kenderaan kerana keadaan gelap dan hanya lampu jentera bomba dan lampu jalan yang ada di kawasan kejadian,” katanya.

Inkues bagi menentukan punca kematian Adib di Mahkamah Koroner Shah Alam bermula hari ini.

Prosiding diadakan di depan Koroner, Rofiah Mohamad dan dikendalikan Hamdan yang dibantu Faten Hadni Khairuddin dan Zhafran Rahim.

Seramai 30 saksi dijangka dipanggil dalam prosiding 52 hari itu.