Inkues tentu punca kematian Adib bermula hari ini

Pegawai dan anggota bomba yang hadir pada inkues kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner, Shah Alam, yang bermula hari ini.

SHAH ALAM: Inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Koroner di Shah Alam, bermula hari ini.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad akan dikendalikan timbalan pendakwa raya yang juga pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzah.

Dua lagi yang membantu beliau ialah, Faten Hadni Khairuddin dan Zhafran Rahim.

Difahamkan, 3 individu melibatkan, anggota bomba, polis dan orang awam yang berada di tempat kejadian dijangka memberi keterangan hari ini.

Mereka adalah antara 30 saksi dalam inkues itu yang dijangka berlangsung selama 52 hari.

Saksi lain yang akan dipanggil ialah doktor dan pakar forensik, termasuk yang merawat Muhammad Adib di Institut Jantung Negara (IJN) untuk memberikan keterangan.

Pada prosiding lalu, Rofiah membenarkan pihak berkepentingan, iaitu peguam bagi ahli keluarga, dan peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengemukakan soalan.

Kebenaran turut diberikan kepada peguam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Mansoor Saat, manakala Majlis Peguam yang diwakili Roger Chan Weng Keng dan Cyrus Tiu Foo Woei.

Mahkamah Koroner sebelum ini menolak permohonan Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman Seafield dan 50 penganut Hindu kuil itu untuk menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Adib.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di IJN.

Berikut adalah kronologi kes kematian Muhammad Adib:

Muhammad Adib disahkan meninggal dunia pada jam 9.41 malam, 17 Dis tahun lepas.

27 November 2018- Adib dipercayai diserang dan dipukul sehingga parah susulan rusuhan di tapak kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Seafield, Subang Jaya, jam 3 pagi dia kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby, Subang Jaya.

28 November 2018-Adib dipindahkan ke IJN disebabkan kecederaan bahagian dalaman yang dialami.

28 November 2018 – Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman dakwa Adib parah akibat kemalangan. Semantara JBPM menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat kejadian.

29 November 2018 – Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menegaskan dakwaan pihak kuil tidak tepat.

4 Disember 2018 – Adib beri tindak balas kepada orang sekeliling, tetapi masih tidak dapat bertutur selepas seminggu dirawat di IJN.

5 Disember 2018 – Adib menggunakan mesin Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) untuk membantu fungsi paru-paru.

7 Disember 2018 – Adib tunjuk perkembangan positif walaupun masih kritikal dan stabil, selain tidak bergantung kepada mesin sokongan jantung.

10 Disember 2018 – Adib memberikan tindak balas positif dengan menulis pada papan putih untuk berkomunikasi.

15 Disember 2018 – Adib terpaksa menggunakan semula mesin ECMO pada jam 9 malam selepas penilaian mendapati paru-parunya mula mengeras.

16 Disember 2018 – Keadaan kesihatan Adib kembali merosot dan kritikal. IJN memaklumkan selepas penilaian menyeluruh, paru-parunya menunjukkan tanda konsolidasi dan pengerasan tisu, menjadikan pertukaran gas tidak berkesan.

17 Disember 2018 – Adib disahkan meninggal dunia pada jam 9.41 malam.

18 Disember 2018 – Jenazah Adib selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Tebengau, Kuala Kedah kira-kira jam 1.45 tengah hari.

27 Disember 2018 – Kerajaan mengumumkan akan menubuhkan inkues untuk mengetahui punca sebenar kematian Adib dan mereka yang terbabit.

10 Januari 2019 – Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim memberitahu polis sudah melengkapkan sepenuhnya siasatan kes kematian Adib. Kertas siasatan itu dirujuk kepada pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.

18 Januari 2019- Mahkamah Koroner Shah Alam menetapkan 52 hari untuk prosiding inkues untuk menentukan punca kematian Adib dan 30 saksi termasuk 6 doktor akan memberi keterangan.

Pada 31 Januari-Mahkamah Koroner menolak permohonan Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman Seafield dan 50 penganut Hindu kuil itu untuk menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba Muhammad Adib.