Jabatan Peguam Negara digesa lapor polis mengenai surat peguam cara negara bocor

GEORGE TOWN: Seorang peguam menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) membuat laporan polis mengenai kebocoran surat dalaman yang mengarahkan supaya berkaitan kes 1MDB dan lain-lain dipercepatkan, atas alasan kebocoran itu menimbulkan fitnah terhadap badan tersebut.

RSN Rayer menyifatkan kebocoran pekeliling tersebut sebagai “serius dan berbahaya” memandangkan AGC adalah badan perundangan tertinggi negara.

Beliau merujuk kepada pekeliling Peguam Cara Negara III, Datuk Mohd Hanafiah Zakaria yang mengarahkan semua perbicaraan berkaitan 1MDB dan SRC International, antara lain, dijalankan mengikut jadual dan sebarang percubaan untuk melambat-lambatkannya perlu ditolak.

“Kebocoran ini menimbulkan persepsi umum bahawa keadilan dan profesionalisme AGC telah dikompromi. Oleh itu, kebocoran seperti itu tidak boleh berlaku lagi.

“Siasatan perlu disegerakan untuk memastikan sama ada terdapat ‘kambing hitam’ dalam AGC yang setia kepada pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan (tindakan perlu diambil untuk) ‘menghapuskan’ mereka.

“Sekiranya tiada laporan dibuat, saya sanggup membuatnya untuk melindungi dan mengekalkan AGC di bawah kerajaan kini,” katanya.

Baru-baru ini, Hanafiah menyuarakan rasa hairan beliau bagaimana pekeliling itu boleh bocor.

Beliau juga berkata, ia adalah sebahagian daripada kerajaan persekutuan dan oleh itu akan menerima arahan dan perintah daripada Putrajaya.

Menurut beliau, ia akan sentiasa mematuhi arahan kerajaan selagi mengikut undang-undang dan tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan atau mana-amana undang-undang bertulis.

Oleh itu kata Hanafiah, adalah menjadi tugasnya sebagai peguam cara negara yang menjaga hal-hal pendakwaan untuk memberitahu timbalan pendakwa raya mengenai arahan kerajaan untuk mempercepatkan perjalanan kes yang berkaitan dengan kerajaan lepas.

Ia juga, katanya, adalah selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah yang menyebut bahawa mana-mana perbicaraan hendaklah bermula tidak lewat 90 hari dari tarikh tertuduh didakwa di mahkamah.