Jadi mahu simpan AES dalam stor, soal Hasanuddin

Naib Presiden Amanah Hasanuddin Yunus berkata, PH memang meletakkan maqasid syariah sebagai asas pengurusan dan pentadbiran negara.

KAJANG: Selepas dikritik berhubung kenyataan beliau mengenai pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) menepati maqasid syariah, Naib Presiden Amanah, Hasanuddin Mohd Yunus mempersoalkan adakah alat itu yang dibeli dahulu mahu disimpan di dalam stor.

Beliau mempertahankan kenyataan dibuatnya sebelum ini dengan berkata, perkara baik yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu tidak akan dibuang.

“Apa yang kerajaan dulu (buat) yang baik kami tak akan buang. Takkan alat-alat yang dah dibeli dulu kita nak simpan dalam stor, kita nak buang?

“Kami telah proses, melihat balik dan ia boleh dimanfaatkan. Benda itu (AES) boleh diguna untuk kepentingan negara. Ada orang marah, dulu cakap lain sekarang cakap lain. Kami cakap ‘here and now’,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas turut serta dalam lawatan Menteri Pendidikan Maszlee Malik ke Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pelangi Semenyih yang kini dalam proses pembinaan.

Hasanuddin yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat dalam kenyataan di Facebook pada 8 Februari berkata, pemasangan kamera AES dan saman yang dikeluarkan bertujuan menjaga nyawa pemandu serta penumpang kenderaan, keselamatan pengguna dan harta benda yang ada di atas lebuh raya adalah menepati maqasid syariah dalam Islam.

Kenyataannya itu kemudiannya mendapat kritikan dan kecaman pelbagai pihak yang menyifatkan beliau mempergunakan agama untuk tujuan politik.

Dalam perkembangan sama, Hasanuddin berkata, dunia sentiasa berubah, namun kepentingan negara menjadi asas dan keutamaan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Ya, barangkali ketika kami jadi pembangkang kami membantah dan sebagainya. Ada yang kami dapati tidak ikut sepatutnya. Kami tidak mahu mempertahankan bahawa kami pembangkang, jadi kami kena bawa apa yang kami bangkang dulu.

“Orang nak marah, saya mohon banyak maaf, tapi kami lihat pada situasi hari ini dan sekarang, bukan dulu,” katanya.

Hasanuddin dalam masa yang sama turut menafikan beliau menggunakan agama untuk tujuan politik, sebaliknya menegaskan ia sememangnya merupakan dasar PH.

“Telah menjadi dasar dalam PH, kita meletakkan maqasid syariah antara asas dalam pengurusan dan pentadbiran negara,” katanya.