Jika GST boleh hapus, kenapa AES tidak, tanya Aziz Kaprawi

Bekas timbalan menteri pengangkutan Ab Aziz Kaprawi berkata, keputusan kerajaan meneruskan AES menunjukkan mereka tidak amanah dengan janji kepada rakyat.

PETALING JAYA: Sekiranya cukai barangan dan perkhidmatan (GST) boleh dihapuskan kenapa tidak pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), soal Datuk Ab Aziz Kaprawi.

Bekas timbalan menteri pengangkutan itu berkata, pembangkang beria-ria mahu menghapuskan AES ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) melaksakannya dulu.

“Lebih-lebih lagi parti Amanah. Jadi saya pun hairan juga kenapa mereka nak teruskan AES, malah mahu mempertingkatkannya.

“Kalau GST, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan bantuan kepada nelayan boleh dihapuskan, kenapa ini (AES) tidak boleh? Mereka mewar-warkannya sebelum pilihan raya,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu meneruskan pelaksanaan AES atas alasan ia menepati maqasid syariah.

AES yang dibantah pemimpin PH ketika menjadi pembangkang sebelum ini dikendalikan oleh syarikat persendirian.

Selepas mengambil alih kerajaan, PH tidak menyambung kontrak 2 konsesi pengendali AES berkenaan yang tamat pada 31 Ogos tahun lalu.

Sebaliknya, sistem berkenaan diambil alih oleh JPJ yang berkuatkuasa 1 September tahun lalu.

Naib Presiden Amanah, Hasanuddin Mohd Yunus dalam kenyataan di Facebook pada 8 Februari berkata, pemasangan kamera AES dan saman yang dikeluarkan bertujuan menjaga nyawa pemandu serta penumpang kenderaan, keselamatan pengguna dan harta benda yang ada di atas lebuh raya adalah menepati maqasid syariah dalam Islam.

Dalam pada itu, Aziz berkata keputusan kerajaan itu juga menunjukkan mereka tidak amanah dengan janji kepada rakyat.

“Dulu BN laksanakan pun untuk kurangkan kemalangan dan ia ditentang kuat oleh Amanah seolah-olah kita zalimi rakyat. Jadi isunya hari ini mereka buat pusingan U,” katanya.