Lawatan di Beranang, Semenyih dirancang awal, kata Maszlee

Maszlee Malik (tengah) berkata program lawatannya ke Beranang dan Semenyih hari ini difrancang awal, tiada kaitan dengan pilihan raya kecil Semenyih.

KAJANG: Menteri Pendidikan Drn Maszlee Malik berkata program lawatannya ke Beranang dan Semenyih hari ini dirancang sejak dari awal dan ia tiada kaitan dengan pilihan raya kecil PRK) Semenyih pada 2 Mac depan.

Katanya, lawatannya berkaitan dengan program berterusan kementerian yang dijadualkan setiap tahun.

“Kita merencanakan program sedari awal dan bukan hanya di Beranang. Semalam saya di Johor Bahru. Hari sebelumnya di Putrajaya dan hari berikutnya di merata Malaysia.

“Sama ada PRK berlangsung atau tidak, kementerian akan melaksanakan program secara berterusan di seluruh negara,” katanya pada sidang medianya selepas program Jom Ke Sekolah Peringkat Kebangsaan 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tasik Kesuma, Beranang.

Maszlee juga melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pelangi Semenyih yang sedang dibina.

Katanya, pembinaan sekolah tersebut diluluskan pada Oktober 2018 dengan kos RM20.7 juta. Bangunan sekolah 24 bilik darjah itu dijangka siap 19 Oktober, 2020.

Menurutnya, projek itu tertangguh sejak 2012 disebabkan kelewatan proses di Unit Perancang Ekonomi (EPU).

“Tempoh pelaksanaannya 106 minggu, iaitu 2 tahun 2 bulan. Kita telah pesan kepada kontraktor tadi kita tidak mahu lagi projek sakit, terbengkalai dan lambat siap.

“Kalau boleh kita mahu projek ini sebelum tempohnya,” katanya, sambil menambah ia pernah dicapai untuk pembinaan bilik darjah di Putrajaya.