Lesen memandu lelaki sebabkan SUV terhumban ke laut digantung

Vaitheswaran M Kumaradevan d‌iiringi pegawai polis ketika tiba di Mahkamah Majistret hari ini.

BUKIT MERTAJAM: Pemandu Toyota Vios yang berlanggar dengan SUV di atas jambatan Pulau Pinang, sehingga kenderaan itu terhumban ke laut, didakwa di Mahkamah Majistret hari ini kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Vaitheswaran M Kumaradevan, 21, didakwa di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dia didakwa menyebabkan kematian Moey Yun Peng, 20 dengan memandu secara berbahaya di KM4 Jambatan Pulau Pinang pada jam 3 pagi, 20 Januari.

Vaitheswaran mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manap. Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan/atau denda sehingga RM20,000.

Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abd Karim memohon majistret mengenakan jaminan sebanyak RM10,000.

Bagaimanapun, peguam Vaitheswaran, S Parameswaran memohon anak guamnya dibenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 memandangkan dia tidak bekerja dan bergantung kepada bapanya.

Jamilah mengenakan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan lesen memandunya digantung sehingga tamat perbicaraan. Beliau juga mengarahkan Vaitheswaran melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.

Kes ditangguh ke 18 Mac untuk sebutan.

Vaitheswaran yang memakai kemeja-T hitam, berseluar jeans dan bertopi kelihatan tenang di kandang pesalah.

Keluarganya membayar wang jaminan selepas pendakwaan.

Dalam kejadian 20 Januari lalu, SUV dipandu Moey, penuntut kolej swasta, terhumban ke laut selepas kenderaannya bergesel dengan Toyota Vios dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang.

Mayat Moey yang terperangkap dalam kenderaannya berjaya dikeluarkan pada hari ke-3 operasi mencari dan menyelamat, jam 6.07 petang.